369 pesakit COVID-19 sembuh dan discaj dari hospital.

0
40

KOTA KINABALU: Berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, jumlah kes positif baharu COVID-19 di negeri ini adalah sebanyak 346 kes. Jumlah kumulatif ialah sebanyak 25,787 kes. Hari ini tiga (3) kes kematian dicatatkan iaitu masing-masing satu (1) kes di Daerah Keningau, Kudat dan Lahad Datu. Takziah kepada semua keluarga yang terlibat.

Pada hari ini, seramai 369 pesakit COVID-19 telah discaj / sembuh dari hospital. Manakala, seramai 2,373 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 645 orang di hospital dan 1,728 orang di PKRC. Bilangan pesakit COVID-19 dalam ICU ialah 72 orang dan 16 orang pula memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilated).

Pada hari ini, tiada kluster baharu dilaporkan. Daripada 346 kes positif COVID-19 hari ini, sebanyak 127 kes (36.71%) adalah dari Daerah Kota Kinabalu, Lahad Datu, Sandakan dan Kudat yang berpunca dari saringan kontak rapat. Selebihnya iaitu 219 kes adalah dari lain-lain kategori.

Jumlah kapasiti katil di Hospital COVID-19 adalah sebanyak 1,007 katil. Sementara, di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) adalah sebanyak 5,569 katil menjadikan jumlah keseluruhan 6,576 katil. Peratus penggunaan katil pada hari ini adalah 36.09%.

PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN DIPERKETATKAN (PKPD) DI PENEMPATAN TELIPOK DAN KG NUMBAK, KOTA KINABALU

Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) masih membuat saringan (screening) COVID-19 di Penempatan Telipok dan Kg Numbak, Kota Kinabalu yang mempunyai jumlah penduduk padat iaitu sekitar 21 ribu orang. Hasil keputusan ujian yang akan dikeluarkan oleh JKNS nanti dijangka akan menyumbang kepada kenaikan mendadak jumlah positif kes COVID-19 bagi Daerah Kota Kinabalu dalam masa yang terdekat (bergantung kepada proses
ujian yang dijalankan).

BANTUAN BAKUL MAKANAN (FOOD BASKET)

Sehingga hari ini, sebanyak 202,121 bakul makanan telah diagihkan kepada
golongan sasar.

LAPORAN SEKATAN JALAN RAYA (SJR), PENGUATKUASAAN PERAIRAN SABAH, SANITASI DAN HEBAHAN UMUM INFO ON WHEELS

Sebanyak 73 SJR telah dilaksana melibatkan pemeriksaan 53,270 kenderaan. Daripada jumlah tersebut, 162 buah kenderaan diarah berpatah balik manakala 19 kompaun dikeluarkan atas kesalahan melanggar SOP COVID-19. PDRM juga telah melaksanakan 79 hebahan melalui kereta peronda.

Penguatkuasaan SOP turut dijalankan di perairan laut Sabah oleh Pasukan Polis Marin yang melibatkan 34 pemeriksaan di kawasan Pantai Timur dan 15 pemeriksaan di perairan Kota Kinabalu dan Labuan.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah telah melaksanakan sanitasi di tujuh (7) premis di empat (4) buah daerah iaitu Tawau, Kinabatangan, Kota Belud dan Semporna.

Hebahan umum Info On Wheels Jabatan Penerangan Sabah mengenai pematuhan SOP, amalkan 3W, elakkan 3C dan pembudayaan norma baharu telah dilaksanakan di 39 lokasi di tujuh (7) buah daerah. Hebahan dibuat dalam tiga (3) bahasa iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Murut dan Bahasa Bajau.

Kerjasama padu daripada semua pihak amat penting dalam usaha untuk memutuskan rantaian COVID-19 dengan mematuhi SOP yang sedang berkuatkuasa dan mengamalkan norma baharu dalam kehidupan seharian.

Masyarakat dinasihatkan untuk menjalani ujian saringan dengan kadar segera sekiranya mempunyai kontak rapat dengan individu yang disahkan positif COVID-19. Masyarakat juga adalah diingatkan untuk mematuhi SOP yang mewajibkan pemakaian gelang kuarantin selama 14 hari selepas menjalani saringan COVID-19. Gelang kuarantin hanya boleh dipotong oleh Pejabat Kesihatan Daerah yang terlibat setelah tempoh kuarantin tamat.

#kitajagakita #stayhome #staysafe

#workfromhome
#normabaharu

YB MENTERI KERAJAAN TEMPATAN DAN PERUMAHAN DAN MENTERI KEWANGAN II
21 November 2020