Penangguhan MAT unit peladang 28 PPK Sarawak gesa menteri, pengerusi LPP campur tangan

0
520
Pertemuan pengerusi-pengerusi PPK negeri Sarawak

KUCHING: Sebanyak 28 buah Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) negeri Sarawak mahu Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani campur tangan berhubung penangguhan Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) Unit Peladang (UP) 2019.

Mereka sebulat suara menyokong kenyataan PPK Dalat, PPK Baram (Sarawak) dan PPK Kinabalu (Sabah) bahawa penangguhan MAT UP menyusahkan ahli-ahli peladang.

Perkara itu telah diputuskan semasa perjumpaan 28 Pengerusi PPK Sarawak di sebuah hotel di Kuching, siang tadi.

Pengerusi PPK Kapit, Encik Joseph Jinggut yang mewakili 28 buah PPK berkata, penangguhan tarikh MAT UP ke Mac 2019 menyusahkan UP yang telah selesai mengadakan mesyuarat, selain mereka terletak jauh di pedalaman.

“Perubahan tarikh MAT UP tahun ini oleh Ketua Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) amat mengecewakan ahli-ahli peladang di sini. Beliau sepatutnya lebih sensitif mengenai masalah di peringkat UP sebelum membuat keputusan mengubah tarikh mulai AMT UP.

“Justeru, kami mahu Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani dan juga Pengerusi LPP campur tangan agar tarikh mulai MAT UP dikekalkan awal Januari 2019”, katanya dalam satu kenyataan,hari ini.

Beliau berkata, KP LPP sepatutnya mengadakan perjumpaan atau bengkel untuk memaklumkan apa perancangan awal tahun lalu atau jika tahun ini maka perlu mendapatkan maklumbalas dari kami ahli-ahli peladang akar umbi.

“Bukan sekarang mahu tambah peraturan sekarang juga mahu dikuat kuasakan. Ini tidak sihat dan menyusahkan kami ahli-ahli peladang yang jauh di luar bandar. Sepatutnya kami dijemput bersama-sama pemimpin peladang seluruh negara untuk mendapatkan maklum balas sebelum memutuskan sebarang perubahan tarikh MAT UP”, tegasnya.

Menurutnya, pendekatan itu telah digunakan oleh KP LPP yang sebelum beliau. Setiap seorang KP sebelum ini menghormati kami selaku pemegang saham di PP. Apabila PPK telah memberi maklum balas, ianya hanya akan dilaksanakan pada tahun berikutnya.

“Ini bagi membolehkan PPK mengadakan persiapan lebih awal selain mempunyai masa yang cukup untuk memaklumkan ahli-ahli peladang di peringkat unit.

“Perubahan tarikh AMT UP yang diputuskan secara mendadak oleh KP LPP amat tidak menghormati hak ahli-ahli peladang di akar umbi”, tegasnya.

Serentak itu, mereka mahu Menteri Pertanian, Pengerusi LPP mengiktiraf MAT UP yang telah siap dijalankan, selain membatalkan penangguhan tarikh MAT.

Joseph berkata, banyak PPK telah mempertikai kredibiliti, integriti dan moral KP LPP sekarang berikutan pihaknya gagal mentadbir dengan baik Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS).pr/BNN