KOTA KINABALU: Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) di bawah kepimpinan Presidennya, Datuk Seri Dr. Jeffrey G. Kitingan, dengan ini menegaskan bahawa parti tidak pernah mengeluarkan, meluluskan atau mengesahkan sebarang kenyataan seperti yang tertera dalam grafik yang sedang tular, berkaitan isu Kampung Pondo, Pulau Gaya serta cadangan pemberian Kad Pengenalan (IC) Sabah sekiranya Warisan membentuk kerajaan.
Sebarang kenyataan yang mengaitkan STAR dengan pendirian tersebut adalah tidak benar dan tidak boleh dianggap sebagai kenyataan rasmi parti.
Mengikut kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Penerangan Anuar Ghani, STAR memandang serius penyebaran bahan grafik yang menggunakan nama dan pendirian parti tanpa kebenaran kerana tindakan sedemikian boleh mengelirukan masyarakat serta menjejaskan kredibiliti kepimpinan parti.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah mempercayai atau menyebarkan bahan berkenaan sebelum mendapatkan pengesahan daripada saluran komunikasi rasmi STAR.
Pendirian rasmi STAR hanya boleh dirujuk melalui kenyataan yang dikeluarkan oleh Presiden, Setiausaha Agung dan Ketua Penerangan Parti.-pr/BNN





