KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menerusi Cawangan Penyiasatan Tatakelola telah mengemukakan tiga syor penambahbaikan tatakelola membabitkan amalan, sistem dan tatacara kerja berkaitan pengurusan kontrak memajak dan mengutip sarang burung Gua Gomantong, Jabatan Hidupan Liar Sabah.

Syor pertama ialah mewujudkan garis panduan jawatankuasa penilaian harga yang digunapakai oleh jabatan dalam proses penilaian tender dan carta alir bagi setiap peringkat atau tahap kerja di dalam jawatankuasa penilaian harga tender.

Manakala syor ketiga ialah mewujudkan surat lantikan ahli jawatankuasa penilaian harga tender yang menerangkan dengan jelas peranan serta tanggungjawab ahli yang dilantik dengan memperincikan tugasan yang diberikan.

Kesemua syor penambahbaikan tatakelola berkenaan telah dibentangkan oleh Pengarah SPRM Sabah, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah di Ibu Pejabat Jabatan Hidupan Liar Sabah, di sini, semalam.

Sementara itu, Jabatan Hidupan Liar Sabah menyambut baik kesemua syor penambahbaikan berkenaan yang dizahirkan menerusi majlis menandatangani Laporan Penambahbaikan Tatakelola antara Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah, Mohd Soffian Abu Bakar dan Datuk Mohd Fuad Bee.

Turut hadir Timbalan Pengarah (Pencegahan) SPRM Sabah, Alexander S. Kunghi; Ketua Cawangan Penyiasatan Tatakelola SPRM Sabah, Hamsia Abdul Ham; Timbalan Pengarah 2 Jabatan Hidupan Liar Sabah, Sailun Aris; Pegawai Hidupan Liar, Primus Lambut dan Jude Gireneus; serta Pegawai Akauntan Jabatan Hidupan Liar Sabah, Siti Farhani Aspah.-pr/BNN