28 PPK Sarawak desak NAFAS bayar 10% dividen DPK, 30% atas saham PPN

0
635
Pengerusi-Pengerusi PPK yang menghadiri perjumpaan tersebut.

KUCHING: 28 Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di Sarawak sebulat suara mendesak Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) terus membayar 10% dividen kepada pelabur Dana Peladang Kebangsaan (DPK).

Mereka juga mahu Ketua Pentadbir NAFAS membayar 30% dividen keatas saham PPN seperti beberapa tahun lalu, bagi tahun kewangan 2018. sebelum Perlembagaan NAFAS digantung.

Pengerusi PPK Kapit, Encik Joseph Jinggut berkata, perkara itu telah diputuskan semasa perjumpaan 28 Pengerusi PPK Sarawak di sebuah hotel di Kuching, semalam.

Perjumpaan itu bagi membincangkan keadaan semasa mengenai masalah NAFAS dan kesan penggantungan perlembagaan NAFAS oleh Ketua Pengarah (KP) Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).

Beliau yang mewakli 28 Pengerusi PPK berkata, “kami juga sebulat suara menyokong kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh PPN Sabah, beberapa PPK di Sabah, PPK Rompin, Pahang, PPK Lenggeng Negeri Sembilan dan PPN Sarawak”.

Katanya tindakan PPN Sabah membuat laporan polis terhadap kegagalan meneruskan Mesyuarat Agong Tahunan (MAT) NAFAS pada 20 Disember 2018 oleh KP LPP dan Ketua Pentadbir NAFAS amat dialu-alukan oleh PPK.

“Ini kerana kegagalan meneruskan MAT NAFAS itu amatlah merugikan para pemegang saham yang terdiri daripada semua ahli-ahli peladang bernaung di bawah NAFAS.

“KP LPP yang tidak meneliti dengan terperinci keatas kesan mengadakan MAT NAFAS yang akhirnya gagal dilaksanakan pada masa itu amatlah dikesali dan dipandang serius oleh semua pemegang saham di PP”, katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

“Kami percaya kegagalan mengadakan MAT tersebut dianggap kecuaian KP LPP menasihatkan Ketua Pentadbir bagi mengadakan MAT tanpa punca kuasa”.

Menurutnya, mengikut Seksyen 24A(2) Akta 109 Pertubuhan Peladang 1973, mana-mana pihak yang mendatangkan kerugian kepada Pertubuhan Peladang (PP) boleh dikenakan ‘surcharge’ seksyen tersebut.

“Kami difahamkan MAT yang gagal dilaksanakan itu akan diadakan semula pada 26 Februari 2019”.

“Oleh yang demikian kami bersetuju agar pihak polis terus membuat siasatan berikutan laporan polis yang telah dibuat oleh PPN Sabah”, tegasnya.

Joseph berkata, mereka juga menyokong desakan 3 Pengerusi PPN dari Sabah, Sarawak dan Labuan yang mahu Ketua Pengarah (KP) Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPA) menyiasat dakwaan bahawa KP LPP dengan sewenang-wenangnya menempatkan “kroninya” memegang jawatan penting di berbagai peringkat LPP.

Pengerusi PPN Labuan, Datuk Haji Yussof bin Haji Mohammad yang mewakili Pengerusi PPN Sarawak, Datuk Sylvester Entri Muran
dan PPN Sabah, Dato’ Mohd. Nazri Abdullah dalam satu kenyataan berkata, dakwaan itu merupakan tuduhan yang serius.

“Persoalanya, adakah tindakan ini sebenarnya untuk membaiki tadbir urus LPP? Jabatan Perkhidmatan Awam perlu menyiasat dan mengambil tindakan yang sewajarnya demi kepentingan institusi itu”, tegasnya.

Sementara itu, Encik Su Song Kuok, Pengerusi PPK Meradong menyatakan sokongan supaya JPA melihat tindak tanduk KP LPP, kerana boleh merosakan semua PP di seluruh negara.

“Dengan tindakan yang tidak ada hala tujuh tetapi menyusahkan kami sebagai pemegang saham di Pertubuhan Peladang. Tindakan harus diambil oleh pihak berwajib”, tegasnya.-pr/BNN