PPN wilayah Borneo desak KP jabatan perkhidmatan awam siasat KP LPP

0
3513
Haji Yussof Haji Mohammad

KOTA KINABALU: Tiga buah Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) dari wilayah Borneo mendesak Ketua Pengarah (KP) Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPA) menyiasat dakwaan bahawa KP Lembaga Pertubuhan Peladang ( LPP) dengan sewenang-wenangnya menempatkan “kroninya” memegang jawatan penting di berbagai peringkat LPP.

3 PPN itu ialah PPN Wilayah Persekutuan Labuan, PPN Sarawak dan PPN Sabah.

Pengerusi PPN Labuan, Datuk Haji Yussof bin Haji Mohammad bersama Pengerusi PPN Sarawak, Datuk Sylvester Entri Muran dan PPN Sabah, Dato’ Mohd. Nazri Abdullah berkata, dakwaan itu merupakan tuduhan yang serius.

“Kami menerima laporan yang mendakwa bahawa mana-mana pegawai yang rapat dengan KP LPP, Haji Hamzah Haji Bahari atau dengan Timbalan KP, Puan Azulita Salim akan mendapat tempat yang baik, walaupun gred hakiki mereka belum melayakkan mereka menyandang jawatan tersebut.

“Mereka akan mendapat tempat (pengisian jawatan) sama ada secara memangku, khas untuk penyandang (KUP) atau gred rendah tetapi ditempatkan ke jawatan yang gred tinggi”, katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, terdapat pegawai kanan ditukar ke tempat yang tidak sepatutnya. Contohnya Puan Siti Aini Osman dengan gred 52 yang menyandang jawatan Pengarah LPP Negeri Kedah, ditempatkan di Pusat Latihan Peladang Langkawi sebagai Pengurus yang mana gred jawatan itu hanya 48.

“Lebih menghairankan lagi ialah pertukaran Puan Aduni Adlin Mohd Bee yang diarahkan bertukar 24 jam ke jawatan baru di Selangor untuk memberi laluan orang KP mengisi tempat Aduni. Selain itu, Encik Yazid Mahat yang akan berpencen tidak lama lagi juga telah ditukarkan ke LPP Labuan, tanpa sebarang kenaikan gred”.

“Puan Zaibelah Md Lelah (Pengarah Undang-Undang LPP gred 52), satu-satunya jawatan di ibu pejabat LPP telah ditukarkan sebagai Timbalan Pengarah LPP Negeri Melaka, dimana Pengarahnya, Encik Ahmad Hanafi hanya gred 48 (Pengarah Negeri gred 48 dan Timbalan pula gred 52).

“Ahmad Hanafi kemudiannya ditukar ke ibu pejabat LPP, sementara Zaibelah pula memangku Pengarah Negeri”, katanya.

Yussof berkata, Pengarah Hal Ehwal Korporat (HEK) Hajjah Rosmina Ishak gred 52 telah ditukar ke jawatan Timbalan Pengarah Bahagian Khidmat Pengurusan, yang mana difahamkan Pengarah bahagian itu hanya gred 48.

Beliau juga mempersoalkan pergerakan kenaikan pangkat yang begitu mendadak kepada pegawai-pegawai tertentu semasa pertukaran mereka ke penempatan baru sepert Encik Dzulfadli bin Johan dan Encik Amiruddin bin Bahar, sedangkan pada masa yang sama pegawai dengan gred yang lebih tinggi pula ditempatkan di penempatan gred yang lebih rendah.

Ketiga-tiga PPN itu turut menyokong kenyataan Pengerusi PPK Pitas, Datuk Ng Loi Tect yang meminta KP LPP memberi penjelasan berhubung penempatan 8 pegawai LPP yang sebelum ini ditempatkan di NAFAS, apabila diarah balik serta merta ke LPP oleh NAFAS pada 23 Januari 2019, mereka hanya duduk di bilik mesyuarat LPP sehingga hari ini, tanpa sebarang penempatan.

Lapan pegawai berkenaan termasuklah bekas Ketua Pentadbir NAFAS, Puan Razana binti Ghazali dan bekas Timbalan Ketua Pentadbir, Encik Dzulfadli bin Johan.

Pegawai-pegawai lain ialah Muhammad Azzrinie bin Shafie, Arzilinna binti Ahmad Kamal, Sophian Niza bin Ismail, Farhana binti Sakiron, Mohd Hafiz bin Aziz dan Mohd Redzuan bin Kassim.

Ketiga-tiga PPN berpendapat, KP LPP tidak sepatutnya menggunakan kuasanya sesuka hati dengan menempatkan pegawai yang tidak layak memegang jawatan-jawatan penting, sehingga mengenepikan hak pegawai yang sudah lama dan layak menyandang jawatan berkenaan.

“Melihat situasi di LPP dengan tindakan KP LPP menyusun orang-orangnya mengisi jawatan-jawatan yang strategik, justeru seakan ada kebenaran tuduhan bahawa KP LPP mengatur pengurusan di NAFAS seperti yang telah ditular di media sosial (Youtube) baru-baru ini. Sehingga kini masih belum dijawab oleh KP LPP”, katanya.

Yussof berkata, KP LPP perlu menyatakan rasional berhubung tindakannya yang didakwa sesuka hati menukar, menempatkan, menaikkan pangkat dan menurunkan pangkat pegawai-pegawai yang kurang diminatinya.

“Sekiranya tuduhan pertukaran itu tidak benar, maka KP LPP perlu memberi penjelasan dan menafikan dengan segera dakwaan tersebut”, tambahnya.-pr/BNN