KOTA KINABALU: Gesaan MCA yang mahu Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi supaya berundur adalah kenyataan tidak berasas dan tidak cermin diri sendiri.
Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, sebaliknya MCA perlu bertanyakan diri sendiri bagaimana hanya boleh menang dua daripada puluhan kerusi yang dipertandingkan dalam PRU-15 lalu.
Jelasnya, adalah tidak adil untuk menuding jari kepada hanya seorang pemimpin sahaja sedangkan salah sendiri tidak pula diakui selain MCA dilihat tidak menghormati intitusi presiden selaku pucuk pimpinan dalam BN.
“MCA janganlah gesa itu ini macam tu, ini gesa lagi Pengerusi kita berundur apa cerita?
“Mereka ini tidak sedarkah, hanya dapat menang dua kerusi daripada puluhan kerusi yang diberikan Pengerusi kepada mereka, itu pun kerusi yang ada ramai pengundi Melayu.
“Cerminlah diri itu terlebih dahulu sebelum buat keputusan, kita di BN ini tetap tenang menghadapi situasi, jangan kalutkan keadaan, ” katanya.
Bung Moktar berkata demikian ketika mengulas mengenai kenyataan dangkal MCA yang mahu Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan menggantikan Zahid susulan pendedahan surat kepada Yang di-Pertuan Agong yang mendakwa gabungan terbabit menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke 10.
Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon, pihak MCA mendakwa kandungan surat Zahid adalah menyimpang daripada keputusan Dewan Tertinggi BN pada 22 November (Selasa).
Sementara itu, dalam perkembangan berasingan, Bung yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan berkata, semua pihak diminta bertenang untuk menghadapi senario politik semasa di tanahair.
“Bagi pihak BN pula, saya berpendapat, kita komited dalam status pembangkang seperti yang diputuskan pucuk pimpinan.
“Akan tetapi sekarang situasinya berbeda pula, kita jadi pembangkang pun kena bising, mahu pro sana pun kena bising, mahu pro sinun pun kena bising…
“Jadi saya berharap semua pihak bertenang dan untuk kita di BN ini, saya berpendapat, keep calm and trust President, ” katanya sambil berseloroh.-pr/BNN