KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawang, Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar, turut merakamkan ucapan penghargaan dan tahniah kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim atas pelantikan sebagai Perdana Menteri ke-10, Khamis lepas.
Ketika berucap membahas Belanjawan Sabah 2023, beliau berharap pelantikan itu memperkukuhkan lagi hubungan antara kerajaan negeri dan Persekutuan.
“Hubungan antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan amat penting dan kritikal, bagi memastikan kemajuan negeri dan kesejahteraan hidup rakyat,” katanya.
Sehubungan itu, katanya, hubungan dua hala antara Kota Kinabalu dan Putrajaya terus diperkukuhkan menerusi kerjasama dalam kerajaan perpaduan yang dibentuk di peringkat Pusat.
Dalam pada itu, Ghulam yang juga Pengarah Yayasan Sabah mengalu-alukan pengumuman kerajaan yang menaikkan peruntukan ADUN kerajaan kepada RM3 juta, iaitu RM2.5 juta untuk projek kecil dan RM500,000 untuk program Sentuhan Kasih.
Katanya, peningkatan peruntukan itu membantu mereka menyantuni rakyat di peringkat akar-umbi yang sentiasa dahagakan pembelaan.
“Rakyat telah lama menanti untuk pemimpin membalas budi, kini tiba waktunya bagi kami membangun rakyat dan negeri,” katanya.
Beliau turut menyifatkan Belanjawan Sabah RM5.138 bilion dengan tema “Ekonomi Diperkasa, Rakyat Sejahtera” itu sebagai inklusif, seiring Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
Katanya, belanjawan itu menjadi penyegar mencapai cita-cita besar pimpinan meskipun berhadapan cabaran sukar di gelanggang ekonomi dunia yang masih mencabar.
“Saya yakin perencanaan dan pelaksanaan teras ini mampu dicapai, kerana kita dikemudi pimpinan nahkoda negeri yang hebat-hebat dan kuat semangat untuk membela untung nasib rakyat,” katanya.-pr/BNN