Kerajaan wajar transformasi sektor pertanian: Ghulam

0
KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawang, Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar berharap kerajaan mentransformasikan sektor pertanian supaya menjadi sektor yang moden dan dinamik.
Menurutnya, langkah itu bertujuan meningkatkan produktiviti dan menjamin sekuriti makanan dalam negeri berikutan kekuatiran mengenai krisis makanan di peringkat global.
Sehubungan itu, beliau mengalu-alukan penyediaan peruntukan besar kepada Kementerian Pertanian dan Perikanan menerusi Belanjawan Sabah 2023.
Katanya, peruntukan berjumlah RM501.54 juta yang disediakan kepada Kementerian Pertanian dan Perikanan, iaitu kementerian keempat menerima peruntukan terbesar dalam Belanjawan 2023, merupakan langkah  wajar untuk sebuah kementerian yang amat relevan, bagi memastikan negeri ini mampu memenuhi keperluan makanan sara diri.
“Kita berharap peruntukan disediakan itu dapat memastikan program bagi sektor makanan terus berkembang maju,” katanya.
Antara komoditi dan keperluan harian wajar diberi perhatian termasuk beras, sayur-sayuran, bijirin, buah-buahan serta ikan, daging, ayam dan telur.
“Sewajarnya kerajaan memberikan fokus dan keutamaan kepada sektor makanan, pada waktu pasca pandemik COVID-19 ini,” katanya, sambil menyifatkan langkah Kementerian Pertanian dan Perikanan Sabah memeterai memorandum persefahaman (MOU) dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) Pusat pada April tahun ini, bagi pembangunan sektor agromakanan di negeri ini, amat bertepatan sekali.
Turut dimeterai adalah MOU di antara Agrobank dan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO) bagi mewujudkan kerjasama strategik dalam aktiviti pelaburan dan meningkatkan sinergi bagi membangunkan Sabah Agroindustrial Presinct (SAIP).
SAIP merupakan sebuah presint teknologi yang berfungsi sebagai platform untuk pembangunan Industri asas tani yang memberi tumpuan kepada pembangunan agromakanan dan tanaman khusus/produk semulajadi didorong oleh inovasi pemprosesan teknologi dan R&D di kawasan seluas 215 ekar terletak di Kimanis Papar.
“Usaha dan kerjasama strategik  ini diharap mampu meningkatkan jaminan bekalan makanan serta menjamin sekuriti makanan, selain membantu petani dan pengusaha agromakanan,” katanya.-pr/BNN