KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, kehadiran Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) akan memperkukuh citra
perjuangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai satu jajaran lokal dan formula
tempatan.
Katanya, Gagasan Rakyat sebagai sebuah wadah “Solidariti Suara Sabah” akan
membawa citra kesatuan masyarakat berbilang kaum yang mendokong agenda
Sayangi Sabah yang menjadi landasan GRS dengan teras perjuangan Sabah First,
Sabah Forward, Sabah Prosper dan Sabah United.
Beliau yakin, solidariti akan menjadikan suara Sabah lebih kuat dan berkesan. Kita kuat
apabila kita bersatu. Kita akan dihormati sekiranya kita kuat dan bersatu.
“Permuafakatan GRS bukan sekadar penting untuk kita di Sabah, malah amat
bermakna untuk membina kesatuan dan kekuatan dalam memastikan kepentingan
Sabah terus terbela dalam Persekutuan Malaysia”, katanya.
Beliau yang juga Presiden Gagasan Rakyat berkata demikian pada Majlis Pelancaran
Gagasan Rakyat di Sabah International Convention Centre (SICC), hari ini.
Katanya, berdasarkan perubahan sentimen di peringkat akar umbi, rakyat Sabah
mahukan parti tempatan bersifat lokal untuk menerajui kerajaan negeri.
“Memang benar, kita tidak seharusnya menolak kerjasama dengan parti nasional kerana
kita perlu hidup dalam ekosistem federal dalam sebuah negara. Namun dari segi
kerangka governan negeri, rakyat mahukan sebuah kerajaan yang diterajui citra lokal”.
“Kehadiran parti-parti bersifat nasional tetap relevan selagi semangat, teras, dan
agenda perjuangan negeri tidak sesekali dikompromi. Sinergi elemen lokal dan nasional
perlu berlandaskan kepada prinsip meletakkan kepentingan negeri sebagai agenda
keutamaan (Sabah First) dan memposisikan kepentingan negeri itu sebagai komponen
penting agenda nasional”.
“Ini kerana Sabah yang lebih maju dan jaya pastinya menyumbang kepada pembinaan
Persekutuan Malaysia yang Madani iaitu konsep bercitrakan kemajuan yang lebih
holistik merangkumi segenap aspek”, tegasnya.
Hajiji berkata, rakyat Sabah mahu negeri ini dipayungi oleh kerajaan yang berciri multi-
parti, bukan bersifat parti tunggal, sebuah kerajaan yang mempunyai elemen “check and balance” yang cukup kuat lagi inklusif.
Menurutnya, jika ditinjau sejarah, tiga kerajaan pertama Sabah sebenarnya adalah parti
tempatan, tetapi bersifat “parti tunggal”.
“Kita belajar dan mengambil teladan dari pengalaman panjang yang telah kita lalui
bersama. Kita harus melaksanakan pembaharuan dengan model perkongsian kuasa
yang lebih inklusif dan membina”.
“Kita harus mengelakkan daripada kuasa terpusat dengan sangat kuat kepada satu
kutub tertentu, sama ada condong kepada kumpulan yang diwakili atau terikat kepada
kecenderungan sesebuah kepimpinan”, tegasnya.
Hajiji turut mengajak dan menyeru rakan-rakan daripada parti-parti lain yang berkongsi
agenda perjuangan untuk menganjak kerjasama yang lebih bernilai dan bermakna
dengan GRS atas landasan Muafakat Sabah.
Katanya, muafakat ini perlu disimpul bukan hanya di peringkat kepimpinan, malah perlu
dikembangkan ke peringkat akar umbi.
Beliau berkata, GRS akan sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana
pihak yang menjunjung dan mengiktiraf hak dan kepentingan Sabah, termasuk
menghormati kebebasan dan keabsahan pemimpin dan rakyat Sabah dalam
menentukan barisan kepimpinan teraju kerajaan negeri.
“Sebagaimana peristiwa mutakhir yang telah kita lalui baru-baru ini, kita amat
menghargai budaya dan komitmen politik kepimpinan parti-parti nasional yang
menghormati keputusan pemimpin-pemimpin tempatan dalam menentukan hala tuju
kepimpinan negeri. Pendekatan ini sekali gus memelihara kredibiliti dan legitimasi para
pemimpin mereka di peringkat negeri yang dipilih oleh rakyat akar umbi di Sabah”,
tegasnya.
Hajiji juga merakamkan ucapan penghargaan kepada setiap Ahli Dewan Undangan
Negeri (ADUN) yang telah memberikan mandat dan kepercayaan kepadanya untuk
terus menerajui kerajaan negeri.
Beliau bersyukur di sebalik kemelut yang berlaku, dia didokong oleh sebuah pasukan
yang lebih inklusif serta responsif kepada keutamaan dalam menjayakan Hala Tuju
Sabah Maju Jaya (SMJ)
Katanya, Hala Tuju SMJ yang akan genap dua tahun pelaksanaannya pada 29 Mac
2023 telah melakar kejayaan demi kejayaan, termasuk peningkatan hasil negeri
menghampiri paras RM7 bilion berbanding paras RM4 bilion ketika bermula.
“Kita perlu memastikan segala perancangan dilaksanakan, disamping mengenal pasti
strategi serta meneroka peluang dan potensi baharu. Ini termasuk usaha untuk menarik
lebih banyak pelaburan ke Sabah di bawah inisiatif mesra pelabur SMJ. Sehingga kini,
kita telah mencapai rekod pelaburan langsung asing serta pelaburan domestik berjumlah RM33.4 bilion”, tambahnya.
Menyentuh pencapaian Kerajaan GRS, Hajiji berkata dalam tempoh 2 tahun mengambil
alih tampuk pemerintahan, banyak kejayaan yang memberi apa yang terbaik kepada
rakyat dan negeri, antaranya ialah pemeteraian perjanjian Commercial Collaboration
Agreement (CCA) dengan pihak Petronas yang berprinsipkan “Greater Say, Greater
Participation dan Greater Revenue” untuk membangunkan industri minyak dan gas di
Sabah.
“Sejak pemeteraian perjanjian ini, kita telah menandatangani beberapa perjanjian
penting termasuk pembekalan gas asli kepada Sabah Energy Corporation Sdn Bhd
[SEC] menjadikan SEC sebagai pembekal dan pengangkut gas asli domestik terbesar
di Sabah”.
“Selain itu, Sabah juga akan memperoleh 25 peratus kepentingan penyertaan dalam loji
petrokimia Sabah Ammonia Urea (SAMUR) dan awal bulan February lalu, kita telah
menandatangani dua perjanjian iaitu, satu, mengenai back-in option Kontrak
Perkongsian Pengeluaran (atau Production Sharing Contract) telaga minyak dan gas
yang memberikan Kerajaan Negeri Sabah sehingga 20 peratus kepentingan penyertaan
dan kedua, memberi kita 50 peratus kepentingan penyertaan dalam telaga minyak dan
gas Samarang. Kita akan meneruskan usaha untuk mendapatkan lebih banyak
kepentingan penyertaan dengan Petronas”, tegasnya.
Hajiji juga berasa gembira kerana usaha mengejar dan menuntut hak Sabah di bawah
Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) telah menunjukkan banyak kemajuan sejak
mengambil alih tampuk pemerintahan.
Katanya, dalam Mesyuarat MA63 di Kuching pada 20 Januari lalu bersama Perdana
Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim, beliau secara peribadi telah memberitahunya
bahawa adalah tidak adil negeri Borneo iaitu Sabah dan Sarawak tidak mendapat apa
yang sepatutnya untuk kita.
Beliau berkata, PM telah mengumumkan bahawa semua isu tertunggak dalam MA63
sudah melepasi proses perbincangan dan kini dalam peringkat pelaksanaan.
“Satu-satunya isu tertunggak ketika ini adalah mengenai aspek teknikal dan kita akan
bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan untuk memastikan semua tuntutan
dipercepatkan”.
“Terkini, kita akan melihat penyerahan kuasa kawal selia elektrik kepada Sabah berjalan
dengan lancar pada 1 Januari 2024 bagi membolehkan Sabah menubuhkan
Suruhanjaya Tenaga Elektriknya sendiri”.
“Kami bertegas menyeru agar Kerajaan Persekutuan menyegerakan kajian semula
Artikel 112D berkaitan tuntutan 40 peratus perkongsian hasil dan pemberian khas,
pendirian kami menolak Akta Laut Wilayah 2012 yang mengehadkan sempadan maritim
negeri kepada hanya tiga batu nautika dan mengekalkan bahawa sempadan laut kita
hendaklah melebihi 200 batu nautika mengikut Perintah Borneo Utara (Pengubahan
Sempadan) termaktub dalam Majlis 1954”.
“Ini adalah bukti komitmen kita yang tidak pernah berhenti untuk menuntut apa yang
terbaik kepada rakyat melalui pengurusan yang berkesan dan berhemat. Ini adalah
komitmen dan ikrar saya sebagai Ketua Menteri bahawa kerajaan saya akan melakukan
yang terbaik dengan sokongan berterusan daripada rakyat”.
“Marilah bekerja bersama saya dengan satu matlamat utama; kita tangani isu-isu rakyat
dan bina masa depan Sabah yang lebih maju dan berjaya. Kita teruskan dan lonjakkan
momentum pembangunan negeri. Kita buktikan Muafakat Sabah yang kita rintis ini
adalah pilihan tepat dan terbaik untuk tanah air tercinta”, tegasnya.-pr/BNN