KOTA KINABALU: Usahawan wanita perlu meningkatkan pengetahuan mengenai
pengurusan kewangan, pentadbiran perniagaan dan pemasaran bagi membantu
menentukan hala tuju perniagaan mereka.
Justeru, Isteri Ketua Menteri, Datin Seri Panglima Datuk Hajah Juliah Salag, percaya
pelaksanaan Program Wacana Ilmu Wanita Inspirasiku (WINS) dapat meningkatkan
ilmu keusahawanan peserta, bukan saja dalam aspek menambah pendapatan malah
mempromosikan produk yang telah dihasilkan.
“Program pada hari ini amat bermakna khususnya kepada usahawan wanita. Saya
berharap program ini akan memberi peluang kepada usahawan wanita berkongsi
pengalaman dan pandangan antara satu sama lain bagi memajukan perniagaan
masing-masing.
“Bidang keusahawanan juga memerlukan komitmen yang tinggi, justeru saya menggesa agar usahawan wanita memanfaatkan teknologi terkini untuk memajukan lagi bidang keusahawanan yang diceburi.
“Sekiranya teknologi terkini dikuasai sepenuhnya, ia bukan sahaja menjimatkan masa,
tenaga dan wang bahkan berupaya melipatgandakan keuntungan dan mengembangkan
lagi perniagaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan pelancaran Program WINS dari Desa ke Global peringkat negeri Sabah Tahun 2023 di Suria Shopping Mall, di sini pada Sabtu.
Katanya, bagi memastikan usahawan wanita terus kekal bersaing pada masa hadapan,
mereka harus menambah nilai produk yang dihasilkan.
“Saya berharap menerusi Program WINS ini, ia akan membantu golongan wanita untuk terus bersaing sebagai usahawan, bukan saja di negeri ini malah hingga ke peringkat
gobal,” katanya.-pr/BNN