KOTA KINABALU: Kerajaan negeri menggalakkan syarikat dan industri berkaitan
pertanian, perindustrian dan pelancongan di negeri ini untuk mengintegrasikan
penggunaan dron dalam operasi harian, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji
Hajiji Haji Noor.
Katanya ini agar mereka mampu untuk berkembang seiring dengan kemodenan teknologi semasa. Menurutnya, perkembangan teknologi dron perlu diadaptasi dengan segera oleh pemain industri, memandangkan teknologi berkenaan mempunyai penggunaan yang meluas dan mampu untuk menyelesaikan beberapa isu dengan segera, termasuk
kekurangan tenaga kerja dalam sektor pertanian”.
“Kita mengakui bahawa integrasi teknologi dron ke dalam ekonomi Sabah mempunyai
pulangan yang besar untuk kemajuan dan kemakmuran negeri kita. Walau bagaimanapun, ia memerlukan usaha kerjasama daripada semua pihak berkepentingan – kerajaan, pemain industri, penyelidik dan daripada masyarakat sendiri”, katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan “Sabah Drone Open Day 2023” di Sabah
International Convention Centre (SICC), hari ini.
Hajiji berkata, dron telah menjadi sebahagian daripada teknologi moden, dan aplikasinya berkembang pesat merentasi pelbagai industri,daripada pertanian kepada infrastruktur, daripada perkhidmatan, penghantaran kepada pemantauan alam sekitar.
Menurutnya, dron juga boleh membantu dalam memastikan pemeliharaan ekosistem kita yang rapuh untuk generasi akan datang dan memulihara rizab semula jadi kita
yang penting untuk pelancongan dan pemuliharaan alam sekitar.
“Ia merupakan satu bidang baharu yang perlu dipelopori dan sudah tentu kita di pihak
kerajaan mengalu-alukan dan juga ingin memudah cara kepada perkembangan dan
pertumbuhan bidang dron ini”.
“Sungguhpun peraturan keselamatan dan peraturan dron adalah penting untuk dipatuhi bagi memastikan penggunaan dron yang bertanggungjawab dan selamat, adalah sama penting bahawa peraturan-peraturan ini tidak seharusnya menjadi penghalang yang menyekat potensi aplikasi dron dalam sektor ekonomi kita”, tambahnya.
Menurutnya, dalam era yang didorong oleh kemajuan teknologi yang pesat, adalah
penting untuk kita menyedari kepentingan teknologi dan inovasi dalam meningkatkan
ekonomi dan masyarakat kita secara keseluruhan. Beliau berkata,
Sabah yang diberkati dengan kekayaan sumber semula jadi, warisan budaya, dan industri pelancongan yang rancak tidak seharusnya ketinggalan dalam perlumbaan untuk penyesuaian teknologi bagi memastikan pertumbuhan yang mampan dan berdaya saing dalam sektor ekonomi.
“Adalah penting bagi kita untuk bersaing dan merebut peluang yang ditawarkan oleh
teknologi yang mana ia akan membuka jalan kepada kepelbagaian, peningkatan produktiviti, penciptaan pekerjaan, dan pembangunan yang mampan”.
“Oleh itu adalah penting untuk kita mempersiapkan tenaga kerja untuk memperkasakan era digital melalui inisiatif peningkatan kemahiran”, tegasnya.
Hajiji berkata, teknologi dan inovasi telah menjadi daya penggerak di sebalik
pertumbuhan dan pembangunan ekonomi yang mengubah industri, menambah baik
model perniagaan tradisional dan mencipta peluang baharu untuk usahawan dan
pekerjaan.
“Lebih-lebih lagi, ia menarik pelaburan dan memupuk keusahawanan dengan menyediakan platform untuk golongan pemuda dan usaha niaga yang inovatif untuk berkembang maju. Ini seterusnya menyumbang kepada penciptaan peluang-peluang pekerjaan, pertumbuhan ekonomi dan membina taraf hidup yang lebih baik untuk seluruh masyarakat. Teknologi menjadi alat untuk kita membina dunia yang lebih baik untuk kita hari ini dan untuk generasi akan datang”, tegasnya.
Katanya,penganjuran “Sabah Drone Open Day 2023” menandakan satu peristiwa penting untuk meneroka potensi besar dron dan bagaimana dron boleh merevolusikan ekonomi kita. -pr/BNN