KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri menjangkakan pemulihan ekonomi negeri yang
lebih baik dengan unjuran pertumbuhan yang positif pada kadar 4 hingga 5 peratus
bagi tahun 2022 dan 2023, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji
Noor.

Katanya, unjuran ini adalah selaras dengan komitmen Kerajaan untuk meneruskan
momentum pemulihan ekonomi dalam semua aspek bagi melonjakkan semula
ekonomi negeri Sabah. Menurutnya, ini termasuklah usaha merancakkan pelaksanaan program-program pembangunan khususnya projek berimpak tinggi dan menarik lebih banyak pelaburan berimpak tinggi ke Sabah.

“Meskipun berada dalam keadaan ekonomi global dan nasional yang tidak menentu, ekonomi negeri Sabah pada masa ini berada pada landasan yang tepat ke arah
pemulihan apabila merekodkan pertumbuhan positif pada kadar 1.1 peratus pada
tahun 2021 berbanding penguncupan sebanyak 9.2 peratus pada tahun sebelumnya”.

“Pencapaian ini disokong oleh prestasi perdagangan negeri yang kukuh berikutan
peningkatan positif aktiviti eksport negeri Sabah”, katanya pada Majlis Sesi Libat Urus
Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kedua Belas (KSP RMKE-12) Kementerian Ekonomi Bersama Kerajaan Negeri Sabah di Sabah International Convention Centre (SICC), hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri II/Menteri Kerja Raya, Datuk Ir. Shahelmy Yahya. Hadir sama ialah Menteri Ekonomi, Encik Mohd Rafizi Ramli dan rombongan Kementerian Ekonomi, anggota pentadbiran negeri, penjawat awam negeri dan
persekutuan, pemain industri, wakil civil society organisation (CSO), wakil badan bukan kerajaan (NGO), ahli-ahli akademik dan wakil pelajar institut pengajian tinggi.

Hajiji berkata, agenda pembangunan yang dilaksanakan Kerajaan Negeri pada masa ini dirangka berdasarkan Hala Tuju Strategik Pembangunan Negeri di bawah RMKe- 12 bagi mencapai objektif “Malaysia Makmur, Inklusif, Mampan”.

Menurutnya, melalui Hala Tuju Strategik ini, tumpuan dan fokus pembangunan yang
telah dirancang merangkumi semua sektor ekonomi dan sosial bagi memperkukuhkan
pembangunan inklusif, meningkatkan kesejahteraan rakyat, mengimbangi pembangunan wilayah, memperkasakan modal insan serta memastikan kemampanan alam sekitar, selari dengan hala tuju dan matlamat Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ).

“Kerajaan Negeri berterima kasih dan menghargai komitmen Kerajaan Persekutuan
yang telah meluluskan sejumlah RM 14.976 bilion peruntukan di bawah Rolling Plan 1
(RP1) sehingga Rolling Plan 3 (RP3), RMKe-12.

Peruntukan ini adalah bagi membiayai pelaksanaan sejumlah 3,436 buah projek pembangunan melalui pelbagai Kementerian, termasuk 1,181 buah projek baharu dan sambungan yang diluluskan di bawah RP3”.

“Pelaksanaan projek-projek ini bukan sahaja akan merancakkan pembangunan dan
pertumbuhan ekonomi negeri, malah akan memberi manfaat kepada kemakmuran dan
kesejahteraan rakyat”, tambahnya.

Beliau menegaskan Kerajaan Negeri komited untuk menangani isu-isu pelaksanaan
projek pembangunan di negeri ini dan akan memastikan projek dan program
pembangunan dilaksanakan mengikut jadual, menepati hasil dan objektif yang
ditetapkan serta memberi manfaat seperti yang diharapkan.

Hajiji berkata, beberapa langkah diambil bagi mengatasi isu-isu yang menghalang
pencapaian pelaksanaan projek-projek pembangunan di negeri ini, antaranya, memperkasakan pemantauan secara berterusan oleh Kerajaan Negeri dengan
kerjasama Pejabat Pembangunan Negeri Sabah (SDO).

“Kerajaan Negeri juga berharap agar peruntukan pembangunan daripada Kerajaan
Persekutuan dapat disalurkan ke satu akaun amanah yang akan dipantau oleh
Kerajaan Negeri. Cadangan ini adalah bagi memastikan peruntukan yang telah
disalurkan oleh Kerajaan Persekutuan bagi tujuan pembangunan di negeri ini dapat
dibelanjakan sepenuhnya dan tidak luput sekiranya tidak dapat dibelanjakan pada
tahun semasa berikutan isu-isu pelaksanaan yang tidak dapat dielakkan”, tegasnya .

Katanya, Kerajaan Negeri juga menyambut baik keputusan Kerajaan Persekutuan
menyerahkan kuasa untuk mengurus projek-projek pembangunan yang bernilai RM50
juta ke bawah kepada kerajaan negeri serta mengiktiraf Jabatan Kerja Raya Sabah
dan Jabatan Pengairan dan Saliran Sabah sebagai Jabatan Teknik di bawah Arahan
Perbendaharaan (AP 182).

“Saya yakin keputusan Kerajaan Persekutuan ini tidak hanya dapat mengurangkan
kerenah birokrasi, malah dapat mempercepat serta merancakkan lagi pembangunan di
negeri Sabah, khususnya bagi memenuhi keperluan kemudahan dan infrastruktur asas, yang seterusnya akan meningkatkan kualiti hidup rakyat negeri ini”, katanya.

 

Justeru, Hajiji menyeru agar semua pihak khususnya kementerian, jabatan dan agensi
negeri memanfaatkan mandat yang telah diberikan kepada Kerajaan Negeri ini untuk
memastikan program-program pembangunan dirancang dan dilaksana dengan
bermatlamatkan kemakmuran ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

Beliau percaya dengan perancangan, pelaksanaan dan pemantauan yang padu, pembangunan negeri dalam pelbagai sektor dapat dipacu ke tahap yang lebih tinggi
seterusnya memberikan limpahan manfaat ekonomi kepada rakyat di semua peringkat.

Katanya, Kerajaan Negeri akan terus memberikan kerjasama dan sokongan kepada
Kerajaan Persekutuan bagi menjayakan pelaksanaan RMKe-12 dan berharap
hubungan baik antara Kerajaan Persekutuan dan negeri akan terus kukuh bagi
memastikan pembangunan serta kemakmuran ekonomi negara dapat dikecapi oleh
semua lapisan. -pr/BNN