KOTA KINABALU: Umat Islam perlu sentiasa bersatu padu, berganding bahu dan saling bermuafakat atas apa juga isu dan permasalahan yang dihadapi dalam dunia yang penuh mencabar pada hari ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata sambutan Maal Hijrah seperti ini bukan semata-mata menyambut kedatangan tahun baharu sahaja, tetapi lebih kepada penghayatan sebuah perjuangan demi menegakkan keadilan dan kebenaran, memperhebatkan syiar Islam dan membina ukhuwah dalam kalangan umatnya.
“Dunia pada hari ini bukan lagi seperti di zaman Rasulullah SAW, malah jika dibandingkan keadaan sekarang dengan tempoh tiga atau empat dekad yang lalu, keadaan amat berbeza. Kemajuan ilmu pengetahuan, lebih-lebih lagi dalam era ledakan teknologi maklumat yang serba canggih dan semakin hebat di zaman modern ini, menjadikan suasana kehidupan sudah jauh berubah.
“Kita pada hari ini berhadapan dengan pelbagai cabaran, baik dalam politik, ekonomi, masalah sosial hingga berkaitan kesihatan, alam sekitar, bekalan makanan termasuklah cabaran besar yang dihadapi oleh seluruh umat Islam iaitu Islamofobia.
“Berhadapan dengan segala cabaran itu, kita sebagai umat Islam perlu bersatu-padu, berganding bahu dan saling bermuafakat atas apa jua isu dan permasalahan yang dihadapi.Kerjasama dan permuafakatan itu akan melahirkan perpaduan dan kekuatan.Jika kita kuat kita mudah menang dan mencapai kejayaan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Maal Hijrah 1445H Peringkat Negeri Sabah bertempat di Dewan Sa’adah Wisma Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), pada Rabu.
Yang turut hadir, Yang Di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dan isterinya, Toh Puan Norlidah RM Jasni.
Beliau berkata, dunia Barat tidak akan berhenti merekacipta pelbagai tohmahan untuk
memburukkan imej Islam, termasuk mengadu-domba negara-negara yang didominasi
oleh umat Islam.
“Tindakan membakar Kitab Suci al-Quran atas nama kebebasan bersuara adalah
kemegahan peradaban dunia Barat yang sangat kita kutuk. Pun begitu, sebagai umat
yang cintakan keamanan dan kedamaian, kita tidak akanbertindak balas dengan memusnahkan kitab suci penganut agama lain.
“Sebaliknya, kita di Malaysia, bertekad mencetak sejuta kitab suci al-Quran bagi
menggantikan senaskhah al-Quran yang telah dibakar itu. Justeru, saya ingin mengesyorkan supaya MUIS berganding bahu dengan beberapa badan bukan
kerajaan (NGO) seperti USIA, misalnya, mengadakan inisiatif dakwah dengan
menyokong usaha Kerajaan Malaysia Madani, pimpinan Datuk Seri Panglima Anwar
Ibrahim, dalam usaha ini,” katanya.
Dalam pada itu, Hajiji berkata kerajaan negeri bersama Kerajaan Pusat tetap komited
dalam memastikan pembangunan syiar Islam di negara ini terus diperhebat, terutama
dalam membentuk masyarakat madani yang mengutamakan nilai ukhuwah dan insani
yang juga adalah tuntutan agama. “Saya juga berkeyakinan toleransi kaum dapat terus dipupuk dan dipertingkatkan, agar kita terus hidup dalam aman damai, tenteram dan harmoni.Formula kejayaan kita selama ini adalah didorong oleh pembangunan akhlak insani iaitu saling hormat menghormati dan percaya mempercayai dalam menjalin semangat kerjasama walau dalam kepelbagaian kaum, etnik dan budaya bangsa.
“Inilah satu keunikan dan keistimewaan yang wujud di negeri Sabah yang harus kita
banggakan dan pertahankan. Justeru, saya menyeru, dengan semangat hijrah yang
dipelopori oleh Baginda Rasulullah SAW agar kita bergerak bersama-sama dalam
mempertahankan dan memperkukuhkan keharmonian, perpaduan dan persefahaman
yang telah dirintis oleh generasi nenek moyang kita,” katanya.
Ketua Menteri turut mengajak semua umat Islam di negeri ini agar merenung sejenak
kisah silam perjuangan suci Baginda Rasulullah SAW,ketabahannya menghadapi segala ujian dan cabaran dalam mengharungi penghijrahan hingga berjaya mendirikan sebuah negara dan kerajaan.-pr/BNN