Pentadbir sementara tindas, pecat pegawai NAFAS

0
636

KOTA KINABALU: Kakitangan eksekutif dan perkeranian Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) turut menjadi mangsa penindasan oleh pentadbir yang dilantik oleh Ketua Pengarah (KP) Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) selaku Pendaftar semasa penggantungan Perlembagaan NAFAS.

Mendedahkan perkara ini, pemimpin Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Sipitang, Encik Wahid Miasin mendakwa, pihaknya menerima laporan berlakunya kes penganiayaan dan penindasan terbabit.

“Nampaknya kejadian penganiayaan terhadap pegawai-pegawai NAFAS tidak hanya terhenti setakat kepada pegawai-pegawai kanan sahaja, malahan kakitangan eksekutif dan perkeranian juga turut menjadi sasaran tindakan Pentadbir NAFAS yang dilantik oleh KP LPP.

“Kami dimaklumkan bahawa semasa tempoh itu, beberapa individu yang dilantik oleh KP LPP dengan salah dan tidak munasabah, tanpa mengendahkan kepentingan NAFAS dan anggota-anggotanya, bagi mengurus hal-ehwal NAFAS telah mengambil tindakan menamatkan kontrak dan menukarkan penempatan pegawai-pegawai eksekutif dan perkeranian NAFAS.

“Tindakan sedemikian adalah diluar bidang kuasa yang diberi kepada Jawatankuasa Pentadbir yang dilantik itu. Jawatankuasa Pentadbir itu sepatutnya hanya bertindak sebagai Pentadbir Sementara (temporary caretaker) bagi NAFAS, tanpa hak untuk menamat kontrak atau menukar penempatan eksekutif dan kerani”, kata Wahid dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Pengerusi PPN Sarawak, Datuk Sylvester Entri Muran mengenai penganiayaan dan penindasan kepada pegawai-pegawai NAFAS oleh KP LPP semasa NAFAS digantung.

Menurutnya, terdapat pegawai yang ditamatkan kontrak mereka walaupun tempoh penggantungan Perlembagaan NAFAS masih berlangsung.

“Di manakah prinsip keadilan yang diamalkan sekiranya tindakan terus diambil walaupun penyiasatan masih berlangsung dan belum tamat.

“Malahan KP LPP dikatakan telah menyambung tempoh penggantungan Perlembagaan NAFAS dengan alasan bahawa penyiasatan tidak dapat disiapkan dalam tempoh 3 bulan”, kata beliau.

Wahid yang juga Timbalan Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sipitang berkata terdapat pegawai yang ditamatkan kontrak mereka dengan sewenang-wenangnya tanpa mengambil kira kebajikan mereka.

Dengan mengambil contoh, Puan Yusliza Baharin yang ditamatkan kontrak semasa sedang bercuti kerana melahirkan anak. Begitu juga Encik Muhammad Fazrul Ikhwan yang dipecat atas alasan dokumen kelayakan pekerjaan tidak mencukupi.

Sementara pegawai-pegawai NAFAS Wilayah Sarawak pula telah ditukarkan atau ditamatkan kontrak mereka, dan pejabat wilayah Sarawak telah ditutup, tanpa mengambil-kira pandangan dari ahli-ahli peladang di negeri itu.

“NAFAS Wilayah Sabah juga turut terjejas dengan tindakan yang tidak sepatutnya oleh Jawatankuasa Pentadbir yang bersifat sementara ini, dengan pertukaran dan penamatan kontrak pegawai-pegawai di pejabat wilayah Sabah sehingga menyebabkan operasi pejabat wilayah tersebut lumpuh.

“Yang menghairankan ialah pertukaran dan penamatan kontrak bagi operasi wilayah ini hanyak melibatkan wilayah Sabah dan Sarawak sahaja, manakalah pejabat NAFAS wilayah di Semenanjung Malaysia pula tidak terlibat. Fakta ini amat mengejutkan dan tidak adil kepada ahli-ahli peladang “, tegasnya

Wahid berkata, sekiranya alasan penamatan kontrak, penutupan operasi adalah bagi mengurangkan perbelanjaan NAFAS, tetapi mengapakah semasa tempoh mereka bertugas, iaitu sebelum penggantungan perlembagaan, NAFAS mencatat keuntungan yang baik dan amat positif.

“Sebaliknya keuntungan NAFAS telah merosot teruk semasa dibawah pentadbiran Jawatankuasa Pentadbir walaupun pegawai-pegawai NAFAS ini telah mereka dipecat “, tegasnya.

Serentak itu beliau bertanya, “adakah ini bermaksud Pentadbir Sementara telah bertindak memecat pegawai-pegawai yang telah bekerja mendatangkan keuntungan kepada NAFAS? Dan tanpa khidmat mereka maka NAFAS mengalami kerugian?”.

Katanya, walaupun NAFAS mencatat keuntungan beratus juta ringgit setiap tahun dan mampu membayar zakat dan cukai pendapatan berpuluh juta,  tetapi malangnya Pentadbir sementara tetap menamatkan kontrak pegawai yang gaji mereka tidak seberapa itu.

Wahid menegaskan, penindasan ini bukan hanya kepada pegawai-pegawai NAFAS semata-mata malah turut mengabaikan kepentingan yang boleh disifatkan sebagai mendatangkan mudharat kepada kepentingan-kepentingan PP khususnya di kawasan Borneo.-pr/BNN