Penggantungan NAFAS-sepatutnya bukan untuk LPP ambil alih pentadbiran, perniagaan NAFAS

0
808
Datuk Jaimin Samitah

RANAU: Penggantungan perlembagaan Pertubuhan Peladang Kebangsaan  (NAFAS) oleh  Ketua Pengarah (KP) Lembaga Pertubuhan Peladang  (LPP) selaku pendaftar sepatutnya bukan bertujuan untuk mengambilalih NAFAS bagi diurustadbir oleh LPP, kata Pengerusi Pertubuhan Peladang  Kawasan (PPK) Kinabalu, Datuk Jaimin Samitah.

Katanya, Ini kerana NAFAS merupakan pertubuhan yang mempunyai entiti dan perlembagaan yang tersendiri dibawah Akta Pertubuhan Peladang.

Manakala LPP pula adalah suatu Lembaga yang diwujudkan dibawah Akta Lembaga Pertubuhan Peladang.

Beliau berkata, NAFAS dan LPP hendaklah berjalan seiring untuk kebaikan dan kesejahteraan warga peladang.

“Namun apa yang berlalu ialah KP LPP, Haji Hamzah Bahari telah sengaja menggantung Perlembagaan NAFAS dan kemudiannya melantik orang-orang beliau sebagai pentadbir NAFAS sepanjang tempoh penggantungan tersebut, yang dikenali sebagai Jawatankuasa Pentadbir”, katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Jaimin  berkata demikian ketika mengulas mengenai penderitaan yang dialami oleh Pegawai-pegawai Kanan NAFAS akibat dari penindasan oleh Jawatankuasa Pentadbir NAFAS semasa tempoh penggantungan Perlembagaan.

Jawatankuasa Pentadbir terdiri daripada :

  1. Razana binti Ghazali
  2. Dzulfadli bin Johan
  3. Muhammad Azzrinie bin Shafie
  4. Arzilinna binti Ahmad Kamal
  5. Sophian Niza bin Ismail
  6. Farhana binti Sakiron
  7. Mohd Hafiz bin Aziz
  8. Mohd Redzuan bin Kassim.

Beliau yang juga Ahli Jemaah Pengarah (AJP) Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Sabah mendakwa, sewaktu tempoh penggantungan tersebut, keuntungan NAFAS merudum dan pekerja-pekerja NAFAS juga sebilangannya telah ditindas.

“Adakah tindakan sedemikian selaras dengan kepentingan peladang-peladang?

“Bukankah Jawatankuasa Pentadbir sepatutnya boleh dipersoalkan dan dipertanggungjawabkan terhadap perkara tersebut, sepertimana Ahli Jemaah Pengarah juga akan dipersoalkan sekiranya perkara tersebut berpunca daripada tindakan mereka? “, tegasnya.

Jaimin berkata, KP LPP dan Jawatankuasa Pentadbir yang dipilih oleh beliau tidak boleh menjadikan NAFAS sebagai pertubuhan yang dibawah seliaan mereka seolah-olah tiadanya penggantungan Perlembagaan NAFAS.

“Sekiranya itulah tujuan mereka, ini adalah suatu tindakan yang bersifat salahguna kuasa kerana KP LPP dan Jawatankuasa Pentadbir sepatutnya bukanlah peneraju NAFAS dibawah Akta Pertubuhan Peladang dan Perlembagaan NAFAS”, tambannya.

Katanya, pendapat bahawa Jawatankuasa Pentadbir NAFAS mempunyai hak untuk menggantung tugas atau menukar penempatan pegawai-pegawai NAFAS semasa tempoh penggantungan adalah tidak benar.

Menurutnya, Jawatankuasa pentadbir yang dilantik itu sepatutnya bertindak sebagai pentadbir sementara (temporary caretaker) bagi NAFAS dan bukannya mengambilalih kuasa Jemaah Pengarah serta menjalankan aktiviti perniagaan dan transaksi.

“Justeru adalah satu kesalahan dibawah peruntukan undang-undang yang ada apabila Jawatankuasa Pentadbir membuat keputusan material dan transaksi yang melibatkan kewangan serta pertukaran pegawai NAFAS”, tegasnya.

Jaimin berkata, adalah amat malang jika pegawai-pegawai kanan LPP yang dilantik sebagai Jawatankuasa Pentadbir tidak mengetahui had kuasa yang diberi kepada mereka semasa menjalankan tugas sebagai Pentadbir.

“Kejahilan mengenai had kuasa boleh menyebabkan kekeliruan perasaan. Tindakan mereka mungkin wajar, dan memenuhi KPI prestasi kerja dan berpatutan,  walaupun ianya menindas dan menganiaya pegawai-pegawai NAFAS.

“Pegawai-pegawai NAFAS ada yang ditamatkan kontrak ketika sedang cuti bersalin atau kerana dokumen kelayakan, dan ada yang ditukarkan sewenang-wenangnya walaupun mereka telah menyumbang kepada keuntungan yang diperolehi NAFAS sebelum tempoh penggantungan Perlembagaan NAFAS.

Difahamkan antara pegawai NAFAS yang dianiaya oleh Jawatankuasa Pentadbir yang dilantik KP LPP  ialah:

  1. Dr.Hamid bin Sulaiman
  2. Yuslie bin Mohd Yusop
  3. ShamsulKamal Budiman bin Abd. Rashid
  4. Muhammad Saiful Iskandar bin kassim
  5. Jusmahanim binti Mohd Jamil
  6. Mohd Farhan bin Yonus
  7. Siti Aishatul Radziah binti Razali
  8. Abu Sujak bin Sahuji
  9. Addey Azman bin Nawai
  10. Ruddy Hasmawie bin Mohamad
  11. Syahrul bin Musa
  12. Mohd Zamri bin Ali
  13. Mohd Zamani bin Mansor
  14. Ahmad Fauzi bin Harris
  15. Zulkefli bin Mohd Nor
  16. Badlisham bin Zainal Abidin
  17. Farezan binti Abd Kadir
  18. Mazlin bin Khalid
  19. Rosmahani binti Abd Razak

“Tindakan Jawatankuasa Pentadbir ini telah menghapuskan operasi NAFAS di Wilayah Sarawak dan melumpuhkan operasi di Wilayah Sabah.

“Ini satu pengkhianatan kepada peladang di negeri-negeri itu, menyalahi objektif NAFAS yang sepatutnya memberi perkhidmatan secara tidak langsung kepada ahli-ahli peladang di seluruh negara”, tegas Jaimin.

Katanya, tindakan yang dikenakan terhadap pegawai-pegawai NAFAS yang dilakukan oleh Jawatankuasa  Pentadbir  tidak berkesudahan di situ, apabila pihak LPP turut melaporkan nama-nama pegawai yang dituduh kononya bersalah dan telah dijatuhkan hukuman oleh mereka kepada pihak berkuasa seperti polis.

Beliau menyokong syor PPN Labuan kepada pegawai-pegawai yang terlibat supaya mengambil tindakan undang-undang dan melaporkan kepada pihak berkuasa agar tindakan surcaj dapat dikenakan kepada Jawatankuasa Pentadbir yang terlibat demi mengembalikan keadilan kepada mereka.

Jaimin berkata, dimanakah keadilan kepada pegawai-pegawai NAFAS jika mereka yang telah menyumbang kepada keuntungan pertubuhan itu diperlakukan sedemikian rupa.

“Sedangkan mereka sepatutnya diberi layanan yang sewajarnya seperti yang diterima oleh pegawai LPP yang lain”, tegasnya.

Wahid Miasin

Sementara itu,  pemimpin PPK Sipitang Encik Wahid Miasin berkata, para pegawai LPP yang cemerlang dan akan bersara tahun ini akan diraikan dalam Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC)  yang akan diadakan pada 26 Februari 2019 (esok).

Katanya, tarikh yang dipilih itu sangat sesuai dengan tarikh persaraan KP LPP pada 3 Mac 2019.

Beliau berkata pada kebiasaannya majlis ini diadakan pada penghujung tahun agar lebih ramai pesara LPP pada tahun tersebut dapat diraikan bersama.

“Akan tetapi disebab KP LPP akan bersara pada awal tahun, maka Majlis APC  dipercepatkan pada tahun ini.

“Adakah pesara lain yang akan bersara pada hujung tahun ini akan turut diraikan pada awal tahun iaitu  pada 26 Februari 2019 dan menimbulkan kejanggalan atau mereka akan diraikan lebih lewat iaitu pada tahun 2020 pula”, katanya dalam satu kenyataan di sini.

Wahid yang juga Timbalan Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sipitang turut mempersoalkan adakah unsur-unsur salahguna kuasa oleh KP LPP bagi meluluskan peruntukan untuk mengadakan acara APC lebih awal untuk kepentingan beliau sendiri, kerana ianya sangat dekat dengan tarikh persaraan wajib beliau.-pr/BNN