KP LPP tidak jawab persoalan, kenyataan berfakta benar AJP PPN Sabah

0
409
Datuk Ng Loi Tect
KOTA KINABALU: Tempoh 3 hari yang diberi oleh Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Sabah kepada Ketua Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) untuk menjawab persoalan dan kenyataan-kenyataan yang dibangkitkan telah tamat.
KP LPP selaku pendaftar Pertubuhan Peladang (PP) telah diberi tempoh 3 hari bermula dari hari Sabtu hingga Isnin bagi menjawab atau menafikan persoalan yang telah dibangkitkan oleh Ahli-ahli Jemaah Pengarah (AJP) PPN Sabah mengenai Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS).
“Sehingga hari ini (Selasa) KP LPP bukan sahaja tidak menjawab persoalan-persoalan yang dibangkit oleh PPN Sabah malah juga tidak menafikan isu mengenai NAFAS yang disuarakan dalam kenyataan terdahulu.
“Justeru ini bererti persoalan dan isu-isu mengenai kepentingan ahli-ahli peladang yang telah disuarakan oleh AJP PPN Sabah adalah benar dan tidak prejudis”, kata Pengerusi  Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Pitas, Datuk Ng Loi Tect dalam satu kenyataan  hari ini.
Beliau yang juga AJP PPN Sabah berkata, KP LPP tidak patut mengarahkan pegawai LPP Negeri untuk memberi amaran dan menakut-nakutkan AJP yang telah menyuarakan kepentingan ahli-ahli peladang.
“Ini merupakan tindakan yang bukan sahaja tidak profesional, malah seolah-olah mahu PPN dan PPK menutup mulut terhadap salah laku yang telah mereka (pendaftar dan jawatankuasa pentadbir) lakukan demi kepentingan diri mereka sendiri”, tegas Ng.
Pada 22 Febuari 2019 lalu  Pengerusi PPN Sabah, Datuk Mohd.Nazri Abdullah  berkata, kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh AJP PPN Sabah mengenai penggantungan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) adalah berdasarkan fakta yang benar.
Kata, kenyataan yang dikeluarkan oleh AJP PPN yang juga Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) merupakan suara hati ahli-ahli peladang yang bimbang dengan masa depan NAFAS.
“Mereka (AJP PPN) mengeluarkan kenyataan hanya demi melindungi kepentingan ahli-ahli peladang yang merupakan pemegang saham di unit, PPK, PPN dan NAFAS dan bukan untuk kepentingan peribadi mereka.
“Tambahan pula kenyataan tersebut adalah berdasarkan fakta yang benar. Dan bukan bertujuan merugikan mana-mana pihak terutama Pertubuhan Peladang”, katanya.
Mohd.Nazri berkata dalam Mesyuarat AJP PPN Sabah pada 22 Februari lalu, wakil LPP Negeri telah memberi peringatan dan amaran akan mengambil tindakan terhadap pihak yang membuat kenyataan media.
Selain Mohd.Nazri,  AJP PPN Sabah yang telah menyuarakan kebimbangan mengenai nasib dan masa depan NAFAS menerusi kenyataan ialah Pengerusi PPK Pitas, Datuk Ng Loi Tect, Pengerusi PPK Semporna,  Encik Abd. Rahim Oting, Pengerusi PPK Kinabalu, Datuk Haji Jaimin Samitah dan Pengerusi PPK Tuaran, Puan Sylvia Belinggi.
Katanya, mesyuarat AJP PPN Sabah dimaklumkan bahawa berdasarkan Arahan Pendaftar PP Bil.2/2009-Tatacara Pelaksanaan Kuasa Pendaftar dalam mengarahkan AJP Pertubuhan Peladang mengosongkan jawatan dibawah Seksyen 14(5)(F) Akta PP 1973 (Akta 109) iaitu;
“Mengenai kuasa Pendaftar mengarahkan jawatan Pengarah itu dikosongkan dalam erti kata lain ialah memecat mana-mana AJP jika ia mengambil bahagian dalam apa-apa urusan atau bertindak mengikut suatu cara yang pada pendapat Pendaftar mendatangkan mudharat kepada kepentingan-kepentingan PP itu”.
“Perlakuan atau tindakan yang boleh yang disifatkan memudharatkan PP dibawah 5.1(III)- membuat apa-apa kenyataan terbuka atau dalam media yang merupakan fitnah untuk menjatuhkan imej PP atau Pendaftar”.
Sehubungan itu Mohd.Nazri  telah memberi tempoh selama 3 hari  bermula Sabtu lalu hingga Isnin lalu kepada Pendaftar PP untuk menjawab persoalan-persoalan yang dibangkitkan dalam kenyataan-kenyataan terdahulu oleh AJP PPN Sabah.
“Sekiranya Pendaftar PP tidak menjawab semua persoalan tersebut atau menafikan apa-apa fakta benar yang dinyatakan dalam kenyataan-kenyataan AJP PPN terdahulu, maka bererti isu-isu yang diutarakan dalam kenyataan itu adalah benar dan tidak prejudis.
“Dan sekiranya Pendaftar PP gagal berbuat demikian (menjawab persoalan dan menafikan isu-isu yang diutarakan oleh AJP PPN) maka arahan pendaftar PP dibawah Akta PP 1973 tidak terpakai”, tegasnya.-pr/BNN