Penggantungan perlembagaan NAFAS oleh KP LPP tidak ikut prosidur, tatacara

0
718
Datuk Sylvester Entri Muran
KUCHING: Satu persoalan yang menjadi tanda tanya ahli-ahli peladang seluruh negara ialah sama ada penggantungan Perlembagaan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) oleh Ketua Pengarah (KP) Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) selaku pendaftar pada Jun 2018 mengikut prosidur dan tatacara sebenarnya.
Pengerusi Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Sarawak Datuk  Sylvester Entri Muran berkata persoalan timbul kerana perlembagaan NAFAS hanya digantung setelah Haji Hamzah Bahari dilantik sebagai KP LPP
Katanya, dari bulan Januari 2018 hingga Mei 2018 operasi dan perniagaan NAFAS berjalan dengan rancak seperti biasa dan mematuhi prosidur operasi  standard (SOP) yang ditetapkan.
Beliau berkata, setelah bekas KP LPP, Datuk Haji Salim Taha  bersara wajib dan Hamzah dilantik ke jawatan itu, hubungan baik antara LPP dan NAFAS mulai renggang akibat perbuatan Hamzah dan Timbalan KP, Puan Azulita Salim.
Menurutnya pada 26 Mac  2018, tiba-tiba juruaudit LPP yang diketuai oleh Puan Razana binti Ghazali (beliau kemudiannya telah dilantik sebagai pentadbir NAFAS) menjalankan pengauditan terhadap segala operasi dan perniagaan NAFAS.
“Hasil daripada pengauditan itu, Razana kemudiannya membuat tuduhan kononnya ada berlaku salah laku dalam NAFAS.
“Pengurus Besar NAFAS, Dr.Hamid bin Sulaiman dan pengurus-pengurus kanan yang lain pada masa itu telah menjawab semua pertuduhan-pertuduhan kononnya berlaku salah laku yang dibangkitkan oleh Juruaudit LPP”, katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sylvester berkata, Hamzah dan Azulita tetap menggantung perlembagaan NAFAS pada 1 Jun 2018,walaupun semua tuduhan juruaudit telah dijawab oleh Dr.Hamid dan pengurus-pengurus kanannya.
Katanya, notis penggantungan perlembagaan NAFAS yang dikeluarkan oleh KP LPP juga tidak teratur kerana ianya dikeluarkan semasa Pengerusi NAFAS ketika itu, Datuk Seri Saipolbahari bin Suib berada di Mekka kerana mengerjakan umrah.
“KP LPP sepatutnya memberi sedikit penghormatan kepada NAFAS dengan menyerahkan notis penggantungan kepada Datuk Seri Saipolbahari secara personal dan bersemuka dan bukan hanya dengan cara menghantar surat notis sahaja.
“Justeru kami berpendapat menyerahan  notis dan penggantungan perlembagaan NAFAS tidak dilakukan mengikut tatacara yang betul”, tambahnya.
Sylvester mendakwa, penggantungan NAFAS oleh Hamzah dan Azulita tidak mengikut prosidur dan seksyen-seksyen yang dikuatkuasakan dalam Akta 109.
Beliau berkata, adalah tidak wajar Hamzah dan Azulita perlakukan NAFAS sedemikian rupa sedangkan mereka hanya Pendaftar Pertubuhan Peladang (PP) dan bukan pemegang saham NAFAS.
NAFAS merupakan sebuah pertubuhan (PERSATUAN) sahamnya dimilik oleh 14 buah Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) di negara ini.
PPN pula dimiliki oleh Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dan ahli-ahli perseorangan di unit-unit peladang di kampung-kampung di kawasan luar bandar.
NAFAS menjalankan operasi dan perniagaan menggunakan modal dan dana sendiri dan tidak mendapat pembiayaan oleh Kerajaan, walaupun NAFAS ada mendapat kontrak pembekalan daripada kerajaan.
Ini berbeza dengan LPP, merupakan sebuah agensi kerajaan dengan keseluruhan dananya daripada kerajaan.
Sylvester berkata, beliau difahamkan Hamzah dan Azulita hanya merujuk kepada penasihat undang-undang yang junior di LPP semasa membuat keputusan penggantungan perlembagaan NAFAS sehingga prosidur yang perlu dipatuhi tidak dibuat.
“Juga difahamkan Hamzah dan Azulita sendiri yang bertindak sebagai penyiasat, pendakwa dan hakim terhadap semua pertuduhan kononnya berlaku salah laku dalam NAFAS.
“Adakah tindakan sedemikian akan berlaku adil kepada NAFAS dan pegawai-pegawainya serta kepada semua pemegang saham pertubuhan itu?”, tegasnya.
Beliau mendakwa semua ini dilakukan oleh Hamzah dan Azulita untuk memusnahkan NAFAS yang didokong oleh 14 PPN selaku pemegang saham. 276 PPK dan hampir satu juta ahli perseorangan PP.
Katanya, penggantungan tersebut jelas merupakan suatu tindakan yang melulu tanpa mengambilkira kepentingan peladang-peladang.
“Ini kerana kesan daripada tindakan beliau menggantung Perlembagaan NAFAS maka PPN yang merupakan ahli-ahli NAFAS tidak menerima jumlah untung yang sepatutnya akibat kekurangan untung yang substantial daripada tahun-tahun sebelumnya.
“Sekiranya beliau meletakkan kepentingan peladang-peladang di atas kepentingan peribadi, sudah tentu perkara ini tidak akan terjadi”, tegasnya.
Sebaliknya menurut Sylvester, perbuatan Hamzah (menggantung perlembagaan NAFAS) bertujuan untuk memperkasakan kuasa dan campur tangan beliau, dengan niat untuk menindas NAFAS, Ahli Jemaah Pengarah dan ahli-ahlinya yang akhirnya telah memberi  impak yang negatif kepada peladang-peladang secara keseluruhannya.
“Adakah beliau telah menjana untung atau mempertahankan untung yang diperolehi NAFAS seperti tahun-tahun sebelum ini? Jika sebab beliau menggantung NAFAS adalah untuk kebaikan para peladang, kenapa NAFAS mengalami penurunan untung yang ketara  disebabkan penggantungan yang dibuat oleh beliau?
“Kenapa Hamzah juga membenarkan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) NAFAS sedangkan perlembagaan telah digantung sendiri oleh beliau, dan akhirnya AGM tersebut tidak terlaksana sedangkan NAFAS terpaksa membelanjakan dalam lingkungan RM2 juta untuk urusan tersebut? Disamping setiap PNN Negeri mengeluarkan perbelanjaan besar menghantar perwakilan ke Kuala Lumpur.
 Menurutnya, setiap PPN juga akan menghadapi kerugian besar akibat mesyuarat agong NAFAS yang dipanggil,  tetapi tidak dapat dibuat. ( adakah kesilapan ini pun dianggap tidak benar?).
Sehubungan itu ahli-ahli PP di seluruh negara mengingatkan Hamzah, Azulita, Razana dan ahli jawatankuasa pentadbir di samping ahli penyiasat serta yang menyebabkan NAFAS  mengalami kerugian, maka bersedialah menghadapi tindakan undang-undang.
Mengikut Seksyen 24A(2) Akta 109 Pertubuhan Peladang 1973, mana-mana pihak yang mendatangkan kerugian kepada NAFAS, akibat penggantungan itu, maka mereka boleh dikenakan ‘surcharge’  dibawah seksyen tersebut.
 “Jangan difikir isu penggangtungan perlembagaan NAFAS yang berat sebelah ini sudah berakhir walaupun Hamzah akan bersara. Undang-undang tidak mengenal di mana anda berada.
“Adakah itu yang beliau mahukan untuk peladang-peladang? Adakah itu merupakan sesuatu yang terbaik untuk peladang-peladang? “, soal Sylvester.
“Sesungguhnya apabila kuasa telah disalahguna, dan kuasa tersebut tidak dipersoalkan dan dipertanggungjawabkan, bukankah itu sesuatu yang tidak berlandaskan dengan semangat undang-undang?”, tegasnya.-pr/BNN