PENAMPANG: Yayasan Bank Rakyat (YBR) dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah Penampang, Sabah telah mengenalpasti 334 pelajar cemerlang dikalangan B40 bagi menyalurkan Bantuan Awal Pengajian di dalam satu majlis penyerahan, di sini, hari ini.

Melalui inisiatif ini, YBR telah memberi bantuan kepada penerima yang layak sebagai permulaan memulakan semester atau menyediakan peralatan pengajian yang diperlukan.

Majlis Perasmian Bantuan Awal Pengajian YBR telah disempurnakan oleh Ahli dewan Undangan Negeri (ADUN) Kapayan, Yang Berhormat Puan Jannie Lasimbang di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bahang, Penampang.

Majlis ini turut dihadiri oleh Pengerusi YBR, Datuk Philip Benedict Lasimbang; Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Penampang Sektor Perancangan, Germaine Marcella Sikijip dan Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani.

Sementara itu, Jannie berkata, beliau amat berterima kasih di atas bantuan yang diberikan oleh YBR dalam membantu golongan memerlukan khususnya dikalangan pelajar yang kurang berkemampuan.

“Usaha ini merupakan satu kerjasama yang padu bersama badan korporat di mana ia merupakan titik permulaan yang baik dalam membantu mereka yang memerlukan dan membuktikan warga pendidik boleh berganding bahu bersama organisasi swasta yang lain untuk mencapai matlamat pendidikan yang ingin dikecapi,”

Di dalam majlis yang sama Philip Benedict berkata, bantuan tunai yang diberikan setiap seorang itu diberikan kepada pelajar yang berjaya mendapatkan keputusan cemerlang serta sebagai tanda penghargaan dan kasih sayang kepada mereka yang telah bertungkus lumus menunjukkan prestasi cemerlang di sepanjang tempoh persekolahan mereka.

“Bagi meneruskan usaha dalam melestarikan matlamat untuk meningkatkan taraf pendidikan di Malaysia, bantuan hari ini merangkumi pelajar matrikulasi serta IPTA dan IPTS yang menerima Bantuan Awal Pendidikan YBR,” katanya.

Dalam pada itu, salah seorang penerima bantuan, Adriano Gatino, 18, berkata, pendidikan mampu mengubah nasib kehidupan keluarganya untuk ke peringkat seterusnya.

Selain itu, Norazlin Amit @ James, 20, pelajar di Kolej Cyberjaya Kota Kinabalu turut berkata, “dengan bantuan ini saya dapat menggunakannya untuk membuat persediaan awal sebelum memulakan semester yang akan bermula tidak lama lagi dengan menyediakan keperluan asas yang diperlukan. Terima kasih YBR kerana ia sedikit sebanyak mengurangkan beban kewangan yang perlu dihadapi.”-pr/BNN