Hayati saranan Presiden untuk keluar dari zon selesa demi kemenangan mutlak dalam PRU-14- Zakaria

0
22
ZAKARIA (kanan) bersama Menteri Kerajaan Tempatan & Perumahan Negeri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor dan Ketua UMNO Bahagian Batu Sapi, Datuk Samsudin Yahya (kiri) semasa menghadiri Perhimpunan Agung UMNO 2017 di PWTC, Kuala Lumpur.
ZAKARIA (kanan) bersama Menteri Kerajaan Tempatan & Perumahan Negeri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor dan Ketua UMNO Bahagian Batu Sapi, Datuk Samsudin Yahya (kiri) semasa menghadiri Perhimpunan Agung UMNO 2017 di PWTC, Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR: Ahli Umno harus menghayati saranan Presiden Umno Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, supaya setiap anggota parti bangkit daripada zon selesa dan bersiapsiaga menghadapi pilihan raya umum ke-14 (PRU-14), kata Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Zakaria Edris.

Beliau berkata ini penting bagi menentukan Umno dan Barisan Nasional (BN) mencapai kemenangan mutlak, sekali gus mengekalkan tampuk kekuasaan pemerintahan negara.

“Kita tidak boleh berada dalam zon selesa selamanya, kita perlu bangkit demi kelangsungan perjuangan Umno supaya ia kekal relevan,” katanya mengulas Ucapan Dasar Presiden sempena Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini pada Khamis.

Zakaria  berkata kebangkitan daripada zon selesa dapat  menjamin parti bertahan menghadapi serangan pembangkang.

Untuk itu, katanya, ahli parti semua peringkat perlu berfikiran terbuka dalam berhadapan perubahan globalisasi, sesuai dengan tuntutan menuju Transformasi Nasional (TN50).

Beliau turut menghargai pengiktirafan pucuk pimpinan terhadap kekuatan Umno Sabah sebagai negeri mempunyai keahlian teramai, sekali gus menjadi suntikan semangat untuk terus mengekalkan negeri itu sebagai penyumbang utama kemenangan majoriti dua pertiga dalam PRU-14.

Beliau berkata sebagai kubu kuat Umno dan BN, Sabah mampu mengekalkan momentum sokongan rakyat sebagaimana dibuktikan dalam pilihan raya umum sebelum ini.

Katanya, Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman selaku Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah berjaya meletakkan Umno Sabah pada kedudukan terbaik, berjaya melepasi pelbagai cabaran dan halangan.

Zakaria yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gum-Gum turut menyifatkan gandingan kepimpinan Najib-Zahid sebagai terbaik untuk membawa Umno dan BN ke mercu kegemilangan dalam PRU-14.

Beliau berkata kedua-dua pemimpin itu bukan saja sudah membuktikan keupayaan mengangkat martabat negara ke persada tertinggi, tetapi juga digeruni pembangkang atas kebijaksanaan menangkis isu-isu politik kepartian.

Justeru, beliau yakin Umno dan BN tidak mempunyai masalah untuk kekal sebagai tonggak pemerintahan negara biarpun berhadapan asakan-asakan parti lawan.-pr/BNN