KOTA KINABALU: Pelbagai inisiatif pendidikan, perumahan dan bantuan kebajikan yang dilaksanakan Kerajaan Sabah di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, memberi manfaat besar kepada rakyat, termasuk keluarga dalam kalangan ahli Pertubuhan Peladang Negeri Sabah (PPNS).
Pengerusi PPNS, Datuk Mohd Nazri Abdullah, berkata pihaknya amat menghargai usaha berterusan kerajaan negeri membantu rakyat menerusi pelbagai program di bawah Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 1.0 dan SMJ 2.0.
Beliau berkata, perkongsian Hajiji bersama Ahli Jemaah Pengarah (AJP) PPNS mengenai pelbagai inisiatif yang dilaksanakan sepanjang menerajui kerajaan negeri memperlihatkan komitmen beliau dalam memastikan kebajikan dan masa depan rakyat terus diberi perhatian.
“Ketua Menteri berkongsi pelbagai usaha yang dilaksanakan untuk rakyat, termasuk membantu anak-anak Sabah melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT), menyediakan bantuan perjalanan untuk pulang ke kampung halaman serta pelbagai bantuan lain.
“Bantuan pendidikan itu bukan sahaja diberikan kepada pelajar di universiti awam, malah turut meliputi mereka yang melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi swasta,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat AJP PPNS di sebuah hotel di sini, hari ini.
Nazri berkata, pelbagai bantuan berkenaan turut memberi manfaat kepada keluarga ahli-ahli peladang, khususnya mereka yang tinggal di kawasan luar bandar.
Katanya, ramai anak ahli peladang mendapat peluang melanjutkan pengajian hasil bantuan dan sokongan yang disediakan kerajaan negeri.
“Justeru, bagi pihak PPNS dan seluruh ahli peladang, saya ingin merakamkan penghargaan serta ucapan terima kasih kepada Ketua Menteri atas pelbagai bantuan dan keprihatinan beliau terhadap rakyat Sabah.
“Usaha membantu anak-anak kita mendapatkan pendidikan lebih baik, di samping menyediakan pelbagai bantuan untuk meringankan beban keluarga, amat dihargai,” katanya.
Antara inisiatif pendidikan yang dilaksanakan ialah Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS), Bantuan Tunai Pendaftaran IPT (BUDI), Bantuan Ihsan Komputer (BAIK), Bantuan Tiket Penerbangan Pelajar Sabah (SUBFLY), Bantuan Khas Tunai Peperiksaan (BAKTI) dan Sumbangan Mahasiswa Pengajian Tinggi Dalam Sabah (SENTOSA).
Kerajaan negeri memperuntukkan RM155 juta bagi BKNS pada 2026, meningkat lebih tiga kali ganda berbanding RM50 juta pada 2020, manakala 14 inisiatif berkaitan pendidikan diperkenalkan sepanjang 2021 hingga 2025.
Secara keseluruhan, pelbagai bantuan pendidikan kerajaan negeri telah memberi manfaat kepada ratusan ribu pelajar Sabah, sekali gus membantu memperluas peluang mendapatkan pendidikan tinggi tanpa terlalu dibebani kekangan kewangan.
Selain pendidikan, Nazri turut menyentuh pelaksanaan Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) yang membantu golongan berpendapatan rendah, keluarga miskin dan mereka yang tidak memiliki kediaman sendiri.
Program itu mencatatkan sebanyak 7,482 rumah siap dibina setakat Jun 2025, manakala pelaksanaannya diteruskan dengan sasaran 50 unit bagi setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 2026, termasuk peruntukan khas untuk pasangan muda yang belum memiliki rumah sendiri.
Kerajaan negeri turut melaksanakan Program Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR) sebagai bantuan tunai bagi meringankan beban kos sara hidup golongan yang memerlukan. Bagi 2026, program itu diperluaskan daripada 100,000 kepada 140,000 penerima dengan peruntukan RM339.16 juta, menerusi bantuan RM200 sebulan selama 12 bulan.
Nazri berkata, pelaksanaan pelbagai inisiatif berkenaan membuktikan pembangunan negeri bukan hanya memberi tumpuan kepada aspek ekonomi dan infrastruktur, malah turut merangkumi pendidikan, penyediaan kediaman serta kebajikan rakyat.
Beliau berharap komitmen kerajaan negeri menerusi SMJ 2.0 dapat diteruskan bagi memastikan lebih ramai rakyat, khususnya masyarakat luar bandar dan keluarga berpendapatan rendah termasuk ahli-ahli peladang, terus mendapat manfaat daripada pembangunan Sabah.-pr/BNN





