TUARAN: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor beri jaminan akan pastikan masyarakat Cina akan bersama-sama dengan kerajaan untuk membangunkan negeri Sabah.

“Itulah apabila saya menjadi Ketua Menteri, saya lihat dimana keperluan seluruh masyarakat termasuklah masyarakat Tionghua dan bukan Islam. Kita beri peruntukan tahunan yang besar,” katanya sempena majlis perasmian Pesta Tanglung 2023 di Dewan Seri Sulaman di sini malam ini.

Hajiji berkata Kerajaan negeri mengalu-alukan aktiviti seperti Pesta Tanglung yang boleh menguatkan lagi semangat kekitaan dan bertolak ansur dalam masyarakat.

Katanya, Kerajaan juga sentiasa memberi sokongan kepada semua kaum meraikan perayaan masing-masing, di negeri ini.

“Ia bagi memastikan budaya yang diwarisi daripada nenek moyang kita dapat diwarisi anak- anak muda dan dalam masa sama tidak akan pupus ditelan zaman,” katanya

Hajiji berharap acara ini akan dilihat sebagai satu lagi jambatan ke arah memperkukuhkan
perpaduan dan keharmonian dalam kalangan rakyat berbilang kaum di negeri ini, sesuai dengan semangat Konsep Malaysia Madani yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Malaysia.

“Sabah sememangnya unik kerana dalam sebuah keluarga besar pasti mempunyai pelbagai agama dan kaum namun tetap utuh sebagai sebuah keluarga.

“Justeru, saya meminta rakyat Sabah supaya terus mengekalkan semangat harmoni tanpa mengira kaum dan agama serta raikanlah setiap perayaan bersama-sama,” katanya.

Ketua Menteri turut berasa gembira kerana Pesta Tanglung ini bukan sahaja disambut oleh mereka yang berketurunan Cina malah turut dimeriahkan oleh pelbagai suku kaum lain di negeri ini.

“Keadaan ini menunjukkan kaum-kaum lain juga berminat untuk sama-sama memeriahkan pesta ini. Selain perayaan Tahun Baharu Cina, Pesta Tanglung juga merupakan acara yang sangat penting bagi masyarakat Cina di negara ini. Kita sangat bersyukur kerana, Malaysia kaya dengan pelbagai budaya dan tradisi, khususnya di Sabah, negeri kita yang tercinta,” katanya.

“Saya berharap masyarakat Tionghua dan rakyat secara keseluruhannya akan sentiasa bersama- sama kerajaan untuk membangunkan negeri ini,” katanya.

Sebanyak 17 kontinjen daripada sekolah-sekolah dan pelbagai persatuan menyertai pertandingan Pesta Tanglung.-pr/BNN