KEMABONG: University College Sabah Foundation (UCSF) telah berjaya menganjurkan Kursus Pertanian Lestari dan Kompos selama tiga hari bermula 19 Oktober sehingga 21 Oktober 2023 di Pusat Rekreasi Kauran, Kemabong.
Kursus ini telah disertai oleh seramai 19 orang peserta dari sekitar kawasan Kemabong iaitu dari Kampung (Kg) Kangkawang, Kg. Korolok, Kg. Baru Jumpa, Kg. Rumuli dan Kg. Kuala Tomani.
Kursus itu adalah sebahagian daripada Program Khas Anak Negeri (PKAN) dan merupakan kursus penutup PKAN Sabah bagi tahun 2023 yang telah dikendalikan oleh Pensyarah UCSF, Cik DK Nadhirah Ak Jalaluddin dan Nur Ain Awatif Binti Kanapiah.
Ketika ditemui, para peserta secara umumnya sangat gembira dengan kursus yang diadakan kerana ia merupakan satu pendedahan baharu dalam bertani.
Seorang peserta, Paulus @ Zulkifli Rambus berkata, pengkomposan ternyata mudah dan murah kerana prosesnya hanya memerlukan sisa makanan dari rumah dan sisa pertanian dari kebun sedia ada.
Beliau berharap dapat meneruskan kerja-kerja pengkomposan dan memanfaatkan sisa makanan yang ada di rumah bagi menghasilkan kompos untuk tanaman disamping menjana pendapatan kelak.
Ketua bagi “Teaching and Learning Factory” UCSF, Puan Nurul Fatiha berkata, universiti itu akan bekerja keras untuk memastikan komuniti mendapat latihan yang bermanfaat bagi meningkatkan nilai tambah sesebuah komuniti terutamanya di luar bandar Sabah dalam pelbagai bidang seperti pertanian, pelancongan, kraftangan dan budaya.
Sementara itu Naib Canselor UCSF, Dr Rafiq Idris berkata, pihaknya akan terus berusaha menganjurkan program-program bermanfaat dan berimpak tinggi kepada masyarakat luar bandar di Sabah.
“Ini adalah sebahagian daripada sumbangan UCSF kepada masyarakat negeri ini”, tegasnya.-pr/BNN