KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor mengajak semua anak muda Sabah bersama-sama berganding bahu membangunkan negeri Sabah dan sederap selangkah menjayakan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

Beliau juga mengajak Ahli-ahli Dewan Belia Sabah (DBS) yang dipilih mewakili 73 Dewan Undangan Negeri (DUN) Belia Negeri Sabah terus memberikan sokongan dan dokongan kepadanya dan rakan-rakan dalam membawa negeri Sabah lebih maju dan makmur.

Katanya, beliau akan memastikan kerajaan yang dipimpinnya terus melakukan yang terbaik untuk negeri dan rakyat Sabah.

“Negeri Sabah tanah air tercinta ini adalah tanggungjawab kita bersama. Negeri ini tidak
akan maju dalam erti kata yang sebenar sekiranya masih ada warganya terpinggir dalam
pembangunan yang dilaksanakan.”, katanya pada penutupan Persidangan DBS, Mesyuarat Pertama Penggal Pertama di Dewan Bangkuasi DUN Sabah pada Selasa.

Persidangan DBS yang pertama itu telah berlangsung selama dua hari bermula pada 30 hingga 31 Oktober 2023, dan disertai oleh seramai 79 Ahli DBS, termasuk 6 DUN Belia lantikan.

Sebanyak 9 usul telah dipilih untuk dibahaskan oleh Ahli-ahli Dewan Belia yang menyentuh pelbagai isu mendasarkan kepada kepentingan rakyat negeri ini khususnya golongan belia.

Hajiji berkata, beliau telah menerima usul-usul yang telah dibahaskan oleh Ahli DBS dan
Kerajaan Negeri menghargai segala pandangan kritis, cadangan dan idea yang bernas.

“Saya mengambil maklum pelbagai kegusaran yang telah dibangkitkan oleh para Ahli DBS semasa perbahasan. Antaranya mengenai pembangunan infrastruktur asas luar bandar, eko-sistem pembangunan keusahawanan Sabah, Pindaan Perlembagaan Negeri berkaitan pemilihan ADUN Lantikan dalam kalangan belia yang diangkat dalam kalangan ahli DBS, isu perundangan, keselamatan, integriti, dan antarabangsa, peluang pekerjaan, Sabah Youth Hub yang memfokuskan pembangunan belia dan Kepimpinan dan beberapa usul lain”.

 

“Kerajaan Negeri akan meneliti secara terperinci usul-usul yang menjadi keutamaan dan keperluan untuk mengangkatnya ke Persidangan DUN Sabah atau dibincangkan di
peringkat Kabinet Negeri Sabah”, katanya.

Menurut Hajiji, Kerajaan Negeri juga memandang serius terhadap setiap cabaran yang
dihadapi oleh golongan belia hari ini terutamanya kualiti kehidupan pasca COVID-19
yang melibatkan keseluruhan rakyat negeri ini.

Beliau berharap dengan wujudnya Dewan Belia dapat membantu golongan generasi
muda menguasai pelbagai ilmu pengetahuan, mengetahui dan memahami hak sebagai
pengundi dan pemegang mandat dalam menentukan kepimpinan negeri dan negara
pada masa hadapan, serta memastikan belia memberikan perhatian sepenuhnya serta
tahu tanggungjawab terhadap pembinaan masa depan negeri dan negara.

Katanya, tanggungjawab yang dipikul oleh Ahli DBS bagi sesi 2023-2024 cukup berat
dan mencabar demi untuk melahirkan barisan kepimpinan generasi muda yang berketerampilan, berkebolehan, beropendidikan dan mempunyai wawasan untuk sama-
sama menyumbang dalam pembangunan negeri ini khasnya dan negara amnya.

Menurutnya, penubuhan DBS merupakan manifestasi dan idea Kementerian Belia dan
Sukan (KBS) Sabah hasil kolaborasi bersama Majlis Belia Sabah dan Jabatan Belia dan
Sukan (P) Sabah.

“Ini selaras dengan peranan dan fungsi KBS Sabah untuk melaksanakan program-
program kepimpinan di bawah program Inkubator Kepimpinan Belia Sabah (IKEBS) yang merupakan platform untuk para belia mendapatkan latihan dan bimbingan bagi
membangkitkan potensi diri sebagai belia kompeten dan berwibawa bagi menjayakan
misi Hala Tuju SMJ yang diperkenalkan oleh kerajaan masa kini”, katanya.-pr/BNN