KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri sentiasa komited dalam penganjuran program sukan di negeri ini, termasuk menyokong segala usaha ke arah melahirkan lebih ramai atlet hingga ke peringkat antarabangsa.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata seiring dengan komitmen itu, kerajaan negeri melalui Kementerian Belia dan Sukan negeri akan terus melipatgandakan usaha serta memperkasakan lagi program-program pembangunan sukan negeri agar ia berada atas landasan yang tepat, sekali gus mencipta lebih banyak kejayaan pada masa hadapan.

Justeru katanya, kerajaan memperuntukkan RM97.5 juta bagi pembangunan belia dan
sukan, penaiktarafan kemudahan sukan dan penyelidikan sains sukan, untuk tahun in,
sekali gus membuktikan komitmen kerajaan Sabah kepada kemajuan sukan dan
pembangunan belia di negeri ini.

“Kita mahu melihat Sabah melahirkan lebih ramai atlet dan ahli sukan yang hebat yang
akan membawa kegemilangan sukan kepada negeri dan negara. Saya berharap  anugerah dan pengiktirafan yang diberikan pada malam ini akan menjadi pencetus semangat kepada pelapis dalam kalangan atlet muda negeri yang berpotensi untuk terus digilap bagi melakar kejayaan demi kejayaan yang boleh kita banggakan.

“Saya sangat berharap agar atlet-atlet negeri akan terus berusaha dengan gigih untuk
meraih lebih banyak pingat, terutamanya pingat emas, dalam setiap penganjuran sukan
yang disertai pada masa hadapan,” katanya sempena Majlis Anugerah Sukan Negeri
Sabah 2021-2022 di Sabah International Convention Centre (SICC) di sini malam tadi
(Selasa).

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri II yang juga Menteri
Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam.
Majlis itu turut dihadiri Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dan Toh
Puan Norlidah RM Jasni.

 

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan negeri juga bersetuju menaikkan jumlah hadiah
kemenangan untuk semua kategori yang dipertandingkan dalam Anugerah Sukan Negeri Sabah 2021/2022 kali ke-30 ini.

“Diharapkan dengan kenaikan jumlah insentif dan hadiah kemenangan ini mampu
menyuntik semangat atlet dan penggiat sukan untuk terus berjuang mencipta kejayaan
dan kecemerlangan pada masa-masa akan datang.

“Seperti yang kita semua tahu, pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia
termasuk negara ini, telah menjadi titik hitam dan menjejaskan banyak sektor
termasuklah aktiviti kesukanan. Pandemik itu telah mengakibatkan pembatalan
beberapa penganjuran acara sukan peringkat kebangsaan seperti Sukan Malaysia,
Johor 2020 dan penganjuran bertaraf dunia seperti Olimpik Tokyo 2020.

“Penganjuran Anugerah Sukan Negeri Sabah bagi tahun 2019-2020 turut terkesan
sehingga penganjurannya terpaksa dibatalkan dan tidak dapat diteruskan. Namun ini
tidak mematahkan semangat juang atlet-atlet, jurulatih dan seluruh penggiat sukan
tanah air untuk terus mencapai kejayaan dalam sukan,” katanya.

Hajiji berkata kerajaan negeri turut menekankan pembangunan sukan orang kurang
upaya (OKU) atau atlet para di negeri ini, yang turut mencipta kejayaan hingga ke
peringkat antarabangsa.

“Apa yang lebih menggembirakan sukan ini telah membuahkan hasil apabila Sukan
PARA berjaya mencapai lebih 40 pingat emas dan muncul sebagai juara di Para
SUKMA di Kuala Lumpur pada tahun 2021. Pencapaian cemerlang atlet para tidak
terhenti di situ sahaja, malah berjaya menempatkan tiga atlet para negeri ini beraksi di
Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang dianjurkan pada tahun 2021.

“Saya berharap semoga atlet Sukan Para akan terus mencipta kejayaan dari semasa
ke semasa baik di peringkat kebangsaan mahu pun antarabangsa. Syabas kepada
semua atlet Sukan Para,” katanya.

Dalam masa sama, beliau mahu atlet negeri ini juga bukan saja berjaya dalam sukan
malah turut cemerlang dalam akademik mereka.-pr/BNN