KOTA KINABLU: UMNO Sabah masih terus berlagak sebagai ‘big brother’ sedangkan sokongan kepada parti itu di Sabah semakin terhakis, kata Exco Pemuda Gabungan Rakyat Sabah (GRS),Encik Johainizamshah Johari.
Katanya, ini berikutan ramai pemimpin dan ahli UMNO telah meninggalkan parti tu setelah tindakan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan gengnya gagal menggulingkan Kerajaan Negeri pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor melalui “Langkah Kinabalu” pada Januari tahun ini.
“Mereka meninggalkan UMNO/BN Sabah kerana tidak bersetuju dengan tindakan Bung yang lebih kepada untuk kepentingan peribadi berbanding parti. Tindakan terdesak yang sangat memalukan itu jelas pemimpin UMNO Sabah mementingkan kedudukan dan jawatan bukan untuk rakyat.
“Rakyat Sabah juga tidak buta dan mereka tahu bahawa Bung kemaruk kuasa, mahu jadi Ketua Menteri Sabah ketika peristiwa itu berlaku sehingga sanggup bersekongkol dengan parti pembangkang negeri, Warisan serta KDM melakukan kudeta politik”, katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau mengulas kritikan Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir terhadap ucapan dasar Hajiji yang juga Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) pada Persidangan Agung Tahunan 2023 parti itu, Isnin lalu.
Johainizamshah yang juga Timbalan Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Lamag berkata, ketika Pilihan Raya Negeri Sabah ke 16 yang lalu, Hajiji yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) banyak mengalah dengan desakan dan permintaan daripada Bung dan UMNO/BN Sabah.
“Antaranya dalam memuktamadkan isu calon dan pembahagian kerusi, Hajiji terpaksa menggugurkan beberapa calon GRS di beberapa kawasan walaupun ia dikategorikan sebagai kawasan mampu menang oleh GRS.
“Begitu juga ceritanya dengan pengisian jawatan pengerusi dan ahli lembaga pengarah dalam syarikat milik kerajaan (GLC), pemimpin UMNO Sabah mendapat lebih dan kebanyakannya adalah GLC yang utama dan penting, berbanding dengan ahli GRS sendiri. Begitu juga dengan pelantikan 6 ADUN dilantik, UMNO/BN mendapat bahagian yang besar.
“Semua kebaikan itu tidak dibalas dengan baik oleh pemimpin UMNO Sabah, malahan pelbagai rancangan dan strategi jahat dilakukan mereka semata-mata untuk menggulingkan Kerajaan Negeri demi merampas kuasa untuk kepentingan peribadi,” katanya.
Menurutnya, hikmah disebalik kejadian selepas PRU Ke-15 ialah kesan dinamika politik yang berlaku di Sabah telah berjaya membentuk Blok Borneo bersama Sarawak dan akhirnya parti lokal yang diimpikan sekian lama oleh orang Sabah kini menjadi realiti.
Katanya, untuk rekod pada PRU15, BN bertanding 178 kerusi dan hanya mampu memenangi 30 kerusi sahaja. Manakala pada PRN di enam negeri baru-baru ini, BN hanya berjaya menang 19 kerusi daripada keseluruhan 108 jumlah kerusi yang mereka tandingi. Ini adalah bukti nyata bahawa rakyat sudah menolak UMNO/BN secara total.
“Pengundi kini sudah bijak menilai yang mana intan dan mana permata.Andai pilihan raya negeri ditakdirkan berlaku pada bila-bila masa dari sekarang, GRS yang sudah bersedia, yakin mampu membuat kejutan kepada pihak lawan,” tegasnya.
Katanya, ribuan perwakilan, pemerhati dan ahli parti serta penyokong yang hadir serta mengikuti secara dalam talian Persidangan Agung Tahunan Gagasan Rakyat yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini Isnin lalu, jelas membuktikan bahawa parti yang dipimpin oleh Hajiji dan kepimpinannya diterima rakyat berbilang kaum negeri ini.-pr/BNN