KOTA KINABALU: Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) perlu segera melunaskan hutangnya kepada Pertubuhan Peladang Negeri Sabah (PPNS) yang mencecah lebih RM2 juta.
Presiden Kehormat, Pertubuhan Peladang Kawasan Pitas, Datuk Seri Dr Ruddy Awah berkata, sangat tidak wajar NAFAS melengah-lengahkan pembayaran hutangnya kepada PPNS sehingga menyebabkan PPNS terbeban dalam menanggung kos perhidmatan yang telah dijalankan.
“Selaku Pemimpin rakyat dan juga Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Pitas, Saya menyokong tindakan PPNS melaporkan tingkahlaku pegawai kanan NAFAS yang tidak bertanggungjawab ini ke SPRM dan PDRM supaya tindakan seperti ini tidak akan berulang lagi di masa depan dan menggesa NAFAS untuk menyelesaikan perkara ini dengan kadar segera”.
“Tunggakan hutang tidak patut berlaku sekiranya pegawai kanan NAFAS menjalankan tugasnya dengan penuh amanah dan tanggungjawab dalam memproses setiap tuntutan PPNS setelah mereka selesaikan kerja-kerja yang diamanahkan berdasarkan perjanjian yang telah dimeterai”, katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pitas Sabah itu mengulas keputusan PPNS membuat laporan kepada SPRM dan PDRM berhubung kegagalan Pegawai kanan NAFAS dalam memyelesaikan hutang yang mencecah lebih RM2 juta.
Ruddy yang juga Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah berharap Kerajaan Persekutuan terutama Perdana Menteri Datuk Seri Panglima Anwar bin Ibrahim melihat perkara ini demi melindungi hampir satu ratus ribu ahli ahli Peladang dari 26 Pertubuhan Peladang Kawasan di Sabah daripada teraniaya disebabkan perbuatan tidak amanah pegawai kanan NAFAS yang boleh merugikan PPNS dan akhirnya PPNS tidak ada keuntungan untuk memberikan dividen dan bonus kepada ahli ahlinya.
Ahli Jemaah Pengarah PPNS, Datuk Ng Loi Tect dalam sidang medianya berkata, jumlah hutang itu termasuk sewaan gudang baja dan semua pembayaran yang dituntut PPNS berkaitan kerja pembekalan serta penghantaran baja kepada ahli pertubuhan itu di seluruh negeri.
Katanya, laporan yang dibuat PPNS itu bagi meminta SPRM menyiasat beberapa pegawai NAFAS yang disyaki ada kepentingan lain sehingga sengaja melengahkan proses pembayaran kepada PPNS yang menyebabkan tunggakan bayaran selama dua tahun.
Beliau berkata, laporan polis juga telah dibuat bagi membolehkan siasatan dijalankan dan tindakan yang sewajarnya diambil terhadap mereka yang bertanggungjawab dalam soal pengurusan kontrak dan pembayaran hutang kepada PPNS.
“Kita membuat ketetapan untuk melaporkan kes ini kepada SPRM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung dengan beberapa pegawai NAFAS yang kita tahu sengaja melengahkan proses pembayaran (hutang) kepada PPNS”, tegasnya.-pr/BNN