KOTA KINABALU: Buat julung kalinya, Konvoi Jelajah Ramadan Radio RTM Sabah akan menjelajah sejauh 1,183 kilometer ke beberapa daerah untuk menyantuni golongan yang memerlukan sempena Bulan Ramadan tahun ini bermula 25 hingga 27 Mac 2024.
Dijangkakan lebih 500 orang terdiri daripada golongan asnaf, anak yatim, warga
emas dan ibu tunggal akan menerima sumbangan yang disampaikan sepanjang
konvoi tersebut.
Jelajah Ramadan yang merupakan program tonggak saluran radio RTM yang
memasuki edisi ke-12 telah diiktiraf dalam Malaysia Book of Records sebagai
Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Terpanjang Di Malaysia meliputi
pelaksaan 38 aktiviti di seluruh negara.
Konvoi seramai 26 peserta tersebut turut disertai para penyampai stesen radio
SABAHfm, SABAHVfm, KENINGAUfm, TAWAUfm dan SANDAKANfm, selain pihak
pengurusan RTM Sabah yang diketuai Pengarah Penyiaran Sabah, Salmah Hashim.
Majlis Flag Off Konvoi Jelajah Ramadan Radio RTM Sabah akan diadakan pada 25
Mac 2024 bertempat di Stesen Minyak PETRON Ulam South Kota Kinabalu bermula
pukul 9.00 pagi. PETRON merupakan penaja utama untuk Jelajah Ramadan RTM
2024.
Sebelum ini, Jelajah Ramadan peringkat ibu pejabat telah dilancarkan di Kuala
Berang, Terengganu pada 10 Mac lepas yang turut melibatkan penyertaan 34
stesen radio RTM seluruh negara dan dijangka akan berakhir di Johor pada 30 Mac
2024.
Hari pertama konvoi akan singgah ke dua lokasi iaitu Madrasah Darul Hadis Sabah
di Putatan dan Rumah Warga Tua Sri Prichard, Kinarut untuk menyantuni penghuni
dan seterusnya menyerahkan sumbangan daripada rakan strategik, sebelum konvoi
meneruskan jelajah ke daerah Keningau.
Di Keningau, Jelajah Ramadan diteruskan dengan aktiviti memasak dan mengagihkan bubur Kodop di beberapa lokasi terpilih termasuk di Ibu Pejabat Polis Daerah Keningau dan Pejabat Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM). Pada sebelah petangnya, diadakan majlis berbuka puasa dan penyerahan sumbangan kepada golongan kurang bernasib baik di Masjid Al-Dzilal, Kampung Bayangan.
Sementara itu, aktiviti Jelajah Ramadan di Tawau yang dijadualkan pada 26 Mac akan bermula di sebelah petang sebaik ketibaan rombongan yang akan melalui laluan sejauh 346-kilometer merentasi daerah Keningau, Nabawan, Kalabakan, Merotai dan Tawau. Jelajah Ramadan di Tawau akan berlangsung di Masjid Nurul Hikmah, Kampung Blok 31, Balung untuk majlis berbuka puasa dan penyerahan sumbangan serta di Rumah Warga Emas Tawau untuk penyerahan sumbangan daripada rakan strategik.
Seterusnya konvoi akan bergerak ke daerah Sandakan pada 27 Mac yang merupakan lokasi penutupan dan acara kemuncak Jelajah Ramadan. Pelbagai pengisian telah disusun atur di Sandakan antaranya, majlis penutupan dan penyerahan sumbangan kepada golongan asnaf, memasak bubur lambuk serta pengagihan pek berbuka secara ‘drive thru’ kepada penduduk sekitar Masjid Daerah Sandakan.
RTM Sabah turut merakam setinggi-tinggi penghargaan kepada semua rakan strategik untuk Jelajah Ramadan Radio RTM Sabah 2024 antaranya Majlis Agama Islam Sabah (MUIS), Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah, Pusat Zakat Sabah, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia YaPIEM, Yayasan Kebajikan Sabah, Masjid Daerah Sandakan, Pejabat ADUN Balung, Datuk Hamild Awang, Pejabat ADUN Lantikan, Datuk Jafari Waliam, Pejabat Ketua Bahagian PGRS Keningau, Datuk Azman Haji Ruslan, Permai Polyclinic Tawau, Persatuan Komuniti Bugis Sabah (PKBS), Kelab 4×4 Kalabakan, Yayasan Ikram Malaysia, Pasaraya Gemilang, Persatuan Muslim Serantau dan Persatuan Ibu Tunggal Keningau.-pr/BNN