KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri sentiasa menghargai dan memberikan pengiktirafan kepada pasukan dan agensi keselamatan yang sentiasa memberikan keterjaminan aspek keselamatan sosial, ekonomi dan kesejahteraan rakyat serta negara.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, jasa bakti pasukan
keselamatan yang berkorban masa, jiwa dan raga dalam memastikan persempadanan
negara terkawal dan selamat, disamping situasi dalam negara aman dan tenteram, sekaligus membolehkan rakyat hidup dalam keadaan lebih selamat, selesa serta rukun
dan damai.

Katanya, dengan keamanan yang dinikmati, bukan sahaja rakyat malah kerajaan dapat beroperasi dengan lancar dalam usaha membangunkan negeri Sabah, terutama untuk menjayakan Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

“Keamanan yang kita nikmati pada masa ini membolehkan negara kita terus maju dan
dapat meyakinkan pelabur serta pelancong asing untuk membuat pelaburan dan melancong ke negara kita, khususnya ke Sabah”, katanya pada Majlis Penyerahan
Kuih-Muih Hari Raya Aidilfitri kepada Anggota Keselamatan dan Petugas Kesihatan di
Dewan Auditorium Menara Kinabalu pada Khamis.

Beliau berkata, petugas barisan hadapan negara, terutamanya pasukan Unit Badan
Beruniform, Pasukan Keselamatan,.Polis dan Tentera serta Petugas Kesihatan, sentiasa menjalankan tugas dan kewajipan dengan penuh tanggungjawab dan dedikasi yang tinggi.

“Dalam kita berhadapan dengan situasi cemas dan bahaya, seperti semasa pandemik dahulu, atau semasa berlaku banjir dan kebakaran, ada insan yang berkorban masa, tenaga, jiwa dan raga, semata-mata untuk memastikan keselamatan anggota masyarakat yang lainnya. Justeru, golongan frontliner (petugas barisan hadapan) mempunyai tanggungjawab yang besar dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan anggota masyarakat setiap masa”.

 

“Sementara pasukan keselamatan yang lain, iaitu anggota polis, bomba, tentera dan
pasukan beruniform yang lain, masing-masing berperanan dan bertanggungjawab dalam memastikan keselamatan, ketenteraman dan keamanan negara tetap terpelihara.

Tugas dan tanggungjawab pasukan keselamatan sentiasa berhadapan dengan situasi bahaya, iaitu tugas yang menggadai nyawa dan jiwa raga”, katanya.

Menurut Hajiji, sepanjang tahun 2020 sehingga kini, beberapa kejadian bencana telah
melanda negara seperti pandemik Covid-19 dan bencana banjir.

Pada awal tahun 2024 sahaja, beberapa negeri di Malaysia, termasuk Sabah, khususnya di daerah Pitas, Paitan, Beluran dan Sandakan, telah dilanda banjir.

Katanya, dalam menghadapi musim kemarau yang berlarutan, kerajaan mengambil
keputusan untuk melakukan kerja-kerja pembenihan awan bagi menghasilkan hujan
yang melibatkan khidmat dan kepakaran pihak Tentera Udara DiRaja Malaysia
(TUDM) .

“Kerja-kerja pembenihan awan ini telah dilaksanakan pada penghujung bulan Mac lalu, dan nampaknya pendekatan itu telah menghasilkan kesan yang positif. Inilah usaha dan ikhtiar kita dalam menghadapi bencana kemarau yang melanda”, tegasnya.

Hajiji berkata, sudah menjadi budaya dan amalan Kerajaan meraikan dan menghargai
perjuangan dan pengorbanan pasukan keselamatan dan para petugas kesihatan yang
sentiasa menjadi petugas di barisan hadapan pada setiap masa.

Justeru katanya, Majlis Penyerahan Kuih-Muih Hari Raya untuk pasukan keselamatan
dan petugas kesihatan yang diadakan setiap tahun, penting dan sangat bermakna
sebagai tanda ingatan terhadap pengorbanan besar anggota barisan hadapan, yang
sedang bertugas di seluruh negeri termasuk diperbatasan demi menjaga keamanan
dan ketenteraman kita sepanjang masa pada musim sambutan Hari Raya yang akan
menjelang tiba.

Hajiji berkata, tahun ini sebanyak 15 pasukan keselamatan dan petugas kesihatan
menerima sumbangan kuih-muih, termasuk 2 penerima baharu iaitu Jabatan
Imigresen Sabah dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah.

Beliau berkata, sebanyak 33 agensi kerajaan terdiri daripada pelbagai kementerian,
jabatan dan agensi negeri serta Persekutuan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), Badan Berkanun dan badan bukan kerajaan (NGO) terlibat dalam pembungkusan dan penyerahan kuih muih Hari Raya.

“Semoga usaha murni kita sempena bulan Ramadan ini akan memberikan dorongan
dan semangat kepada pasukan keselamatan, petugas kesihatan serta agensi penguatkuasaan untuk terus berkhidmat dengan penuh dedikasi demi memastikan
keselamatan negara, terutama pada musim perayaan ini”, tegasnya. -pr/BNN