KOTA KINABALU: Parti Warisan cuba mengelirukan rakyat Sabah berhubung statistik terbaharu kemiskinan di negeri ini, khususnya laporan berkaitan lapan daerah termiskin seperti didedahkan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli di Dewan Rakyat, baru-baru ini.
Ketua Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Redonah Bahanda, berkata laporan itu dianggap baharu selagi belum pernah didedahkan kepada umum, termasuk di Dewan Rakyat sebelum ini, meskipun ada dakwaan kononnya maklumat itu sepatutnya sudah diketahui lebih awal oleh kerajaan negeri.
Menjawab tuduhan dilemparkan Ketua Wanita Warisan, Norfaizah Chua, kononnya Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Hj Noor menafikan statistik yang didedahkan itu, Redonah berkata adalah bukan sesuatu yang ganjil jika laporan yang didedahkan itu tidak seperti yang diharapkan kerajaan negeri.
Tegasnya, Ketua Menteri hanya menyatakan bahawa ada perbezaan data yang diperolehi kerajaan negeri sebelum pendedahan dibuat Rafizi, namun perkara itu tidak menjejaskan hala tuju kerajaan negeri dalam membasmi masalah kemiskinan di negeri ini.
“Jika kita mahu mempertikaikan data yang dikeluarkan itu, ia tidak akan menyelesaikan masalah sebenar kemiskinan yang berlaku.
“Begitu juga tindakan Warisan memperbesarkan laporan berkaitan statistik itu, ia tidak akan membawa kita ke mana-mana, malah apa yang kita lihat Warisan sanggup mempergunakan golongan miskin untuk ‘political mileage’ mereka.
“Sebaliknya, di pihak kerajaan, sama ada laporan statistik itu tepat atau tidak, sudah dilaporkan atau tidak kepada kerajaan negeri, usaha membasmi kemiskinan tetap dilaksanakan kerana misi kerajaan adalah untuk menurunkan kadar kemiskinan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau mengulas tuduhan Norfaizah dalam kenyataannya yang antara lain menyebut adalah mustahil Hajiji dan Sekretariat Sabah Maju Jaya (SMJ) tidak menerima laporan yang disebut oleh Rafizi sebelum ini.
Menerusi kenyataannya, Norfaizah menyebut ada empat laporan berkaitan statistik kemiskinan di negeri ini yang sepatutnya diketahui kerajaan negeri iaitu Kajian Pendapatan Isi Rumah Sabah (HIS) dan Laporan Kajian Perbelanjaan Isi Rumah (HES), selain laporan Kemiskinan di Malaysia 2022 dan Laporan Sosioekonomi Sabah 2022 yang diterbitkan pada tahun lalu.
Pada persidangan Dewan Rakyat bulan lalu, Rafizi menyatakan bahawa lapan daerah di Sabah, iaitu Tongod, Beluran, Kinabatangan, Pitas, Kota Marudu, Tuaran, Ranau dan Lahad Datu mencatat kadar kemiskinan tegar lebih tinggi berbanding kadar nasional.
Sementara itu, Redonah yang juga Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri berkata, kerajaan negeri sememangnya mempunyai perancangan yang jelas dalam usaha membasmi masalah kemiskinan, termasuk mengutamakan anak golongan miskin tegar yang tersenarai dalam e-kasih untuk diberi peluang kerja dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
“Banyak lagi usaha yang digariskan kerajaan negeri termasuk program Rumah Mesra SMJ, membangunkan aktiviti pelancongan luar bandar, membangunkan aktiviti industri di luar bandar, selain meneruskan bantuan kepada golongan yang layak.
“Ketua Menteri sendiri sangat komited menyelesaikan masalah kemiskinan di semua daerah negeri ini, bukan saja di lapan daerah termiskin yang turut merangkumi daerah Ketua Menteri sendiri.
“Kita yakin apa yang dirancang kerajaan negeri melalui pelbagai program pembasmian kemiskinan itu dapat mencapai matlamatnya dalam menurunkan kadar kemiskinan di Sabah,” katanya.
Beliau berkata, semua pihak seharusnya membantu kerajaan dalam usaha membasmi kemiskinan dengan memberikan cadangan yang boleh dilaksanakan, bukannya memperbesarkan soal statistik dan hal remeh yang lebih bersifat politik.
Katanya, isu kemiskinan juga diwarisi daripada kerajaan sebelum ini, malah ketika Warisan memerintah juga masalah kemiskinan berada pada tahap yang tinggi dan gagal diatasi sepenuhnya.-pr/BNN