KOTA KINABALU: Seramai 27 orang pelajar dari Fakulti Seni dan Kreatif Media serta Diploma Perakaunan Kolej Universiti Yayasan Sabah (UCSF) telah mengadakan Program Komuniti Servis di Sabah Chesire Home (SCH), Likas, rabu lalu.
Program itu dibimbing oleh Puan Sharmimiee dan diketuai oleh Saudari Crystal Ann Fernandez dan Priscilla Wong Pei Xi.
SCH merupakan sebuah institusi yang memberi perlindungan dan sokongan kepada individu kurang upaya dan menjadi tempat kepada pelajar UCSF memberikan sebarang bantuan yang diperlukan.
Dalam usaha memberi sokongan kepada penghuni SCH, pelajar UCSF telah menyusun pelbagai aktiviti seperti gotong-royong, sumbangan amal, dan mengadakan aktiviti mewarna bersama komuniti setempat.
“Saya sangat gembira dapat menyertai program ini dan memberi sumbangan kepada mereka yang memerlukan. Melihat senyuman di wajah para penghuni SCH, ia memberi kami motivasi yang besar untuk terus berkhidmat,” kata Saudari Crystal, salah seorang pemimpin program.
Menurut  Sharmimiee,  Program Khidmat Masyarakat itu bukan sahaja memberi manfaat kepada para penghuni SCH tetapi juga memberi peluang kepada para pelajar universiti itu untuk memahami keperluan mereka disamping memperluaskan pengalaman di luar bilik darjah.
Beliau berharap usaha ini akan memberi inspirasi kepada lebih ramai individu untuk terlibat dalam aktiviti khidmat masyarakat di masa akan datang.
Naib Canselor UCSF, Dr Rafiq Idris berkata program khidmat masyarakat merupakan salah satu perkara yang turut diberi penekanan dan galakkan kepada para pelajar UCSF.
Sementara itu, pihak pengurusan SCH juga menyambut baik dan mengucapkan terima kasih kepada pelajar dan UCSF kerana menganjurkan program yang amat bermakna itu.-pr/BNN