KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri akan terus memberi tumpuan kepada program pembangunan infrastruktur dan kemudahan awam, terutama kemudahan asas yang kritikal iaitu bekalan air dan elektrik yang amat diperlukan di negeri ini, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

Katanya, usaha ini bukan sahaja sebagai pemangkin untuk memperkukuhkan ekonomi negeri, juga memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat pada tahap yang lebih selesa.

Beliau berkata, kesungguhan dan komitmen Kerajaan Negeri dibuktikan melalui penyediaan peruntukan terbesar dalam Belanjawan Negeri 2024 iaitu sebanyak RM2.63 bilion, dengan RM1.72 bilion diperuntukkan kepada Kementerian Kerja Raya Sabah dan jabatan di bawahnya.

Menurutnya, kerajaan prihatin dengan keresahan rakyat Sabah terhadap masalah kemudahan infrastruktur dan kemudahan asas seperti jalan raya, jambatan, cerun, perparitan, perkhidmatan pembetungan, keretapi, pelabuhan dan dermaga, pengurusan trafik, bangunan kerajaan dan lain-lain.

“Justeru, kerjasama antara Kerajaan Negeri dan jurutera amat penting dalam memastikan setiap pembangunan yang dirancang di negeri ini dapat dilaksanakan dengan sebaiknya, memenuhi piawaian yang diperlukan sekali gus dapat memacu pertumbuhan ekonomi di Sabah”.

“Ini juga seiring dengan komitmen Kerajaan Negeri yang berusaha memperkasa rangkaian jalan raya dan komited untuk menyempurnakan Projek Lebuh Raya Pan Borneo di negeri ini”, katanya pada Majlis Makan Malam Tahunan kali ke-46 Institusi Jurutera Malaysia (IEM) Cawangan Sabah di Magellan Sutera, Sutera Harbour Resort pada Sabtu.

Hajiji berkata, profesion jurutera telah memberikan sumbangan signifikan kepada pembangunan negara termasuk di Sabah. Peranan yang dimainkan bukan hanya membantu memacu ekonomi, juga meningkatkan kualiti hidup rakyat negeri ini.

Menurutnya, usaha kerajaan negeri dalam memastikan Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) dapat direalisasikan dan dinikmati oleh semua rakyat Sabah amat memerlukan kerjasama daripada semua pihak termasuk para jurutera.

Hajiji berkata, pembangunan profesional berterusan penting untuk membangunkan pemimpin kejuruteraan. Jurutera berada di barisan hadapan dalam memacu pembinaan negara dan aset penting sesebuah negara yang perlu terus mengembangkan kepakaran teknikal untuk kekal relevan terutamanya dalam menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi.

Beliau berharap jurutera dan pemain industri di negara ini merebut peluang terutama dalam perkembangan teknologi semasa bagi memastikan negeri ini dapat dibangunkan dengan lebih baik berdasarkan amalan kejuruteraan yang betul serta menggunakan teknologi yang terkini.

“Sekiranya ini menjadi kenyataan, maka kita mampu untuk menarik lebih ramai pelabur, sekali gus membuka peluang-peluang perkerjaan dan perkongsian pengetahuan serta pengalaman dari negara luar ke negeri ini”, katanya.

Menurutnya, Kerajaan Negeri melihat kepada organisasi seperti IEM untuk membantu di mana-mana yang berkaitan dan relevan, memandangkan jurutera di setiap peringkat boleh menggunakan pengetahuan profesional mereka untuk menyumbang kepada peningkatan profesion dan produktiviti yang lebih tinggi untuk pembangunan negara.

“Beberapa aspek perlu diambil kira dan dititikberatkan dalam memastikan usaha pembangunan negeri ini tidak merosakkan sumber yang ada agar generasi masa depan dapat menikmati sumber alam yang kita wariskan kelak. Pembangunan mampan merupakan cabaran yang dihadapi, sebab itu untuk membangunkan negeri, ia memerlukan keseimbangan antara alam sekitar dan pembangunan fizikal yang dibawau untuk rakyat”, tegasnya.

Hajiji juga mahu IEM dan semua pihak terus mempromosikan amalan-amalan kejuruteraan untuk menarik minat lebih ramai golongan muda menceburi bidang kejuruteraan bagi melahirkan anak jati Sabah yang mampu bersaing di persada dunia.-pr/BNN