TUARAN: Sabah antara negeri yang tertinggi direkodkan bilangan orang muflis bagi tempoh 2020 hingga Mei 2022 berdasarkan statistik daripada Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang)

Berdasarkan statistik bagi tempoh itu, seramai 17,599 orang telah dilaporkan muflis atau
bankrap di seluruh negara, dengan 1,642 adalah bagi negeri Sabah.

Sehubungan itu, Isteri Ketua Menteri yang juga Yang Dipertua Pertubuhan Muafakat
Titipan Amal Isteri Wakil Rakyat, Gabungan Rakyat Sabah (MUTIARA GRS), Datin Seri
Panglima Datuk Hajah Juliah Salag, berkata program pada hari ini tepat pada masanya
terutama dalam mengurus kewangan dengan bijak.

“Jabatan Insolvensi Malaysia menyatakan hampir 40,000 individu telah diberi pelepasan
daripada senarai bankrap setakat Februari lalu melalui Dasar Peluang Kedua. Ini adalah
antara inisiatif yang diperkenalkan Kerajaan Perpaduan bagi memberi peluang kepada
rakyat menjalani kehidupan baharu seperti rakyat Malaysia yang lain.

“Bagaimanpun, kita perlu melihat berdasarkan statistik ini bahawa betapa seriusnya
masalah keberhutangan dan kes bankrap melibatkan rakyat Malaysia, termasuk di
Sabah. Ini secara tidak langsung telah menjejaskan pembangunan ekonomi negara
serta turut mempengaruhi keharmonian institusi keluarga.

“Oleh itu, manfaatkanlah sepenuhnya program seperti hari ini agar kita lebih pandai
mengurus kewangan dengan lebih baik,” katanya ketika merasmikan Program
Jerayawara Santuni Komuniti Madani Parenting @ LPPKN: SMARTFinance Pantai Dalit
di Dewan Terbuka Bajau Samah Lok Batik di sini pada Khamis.

Dalam pada itu, Juliah menyeru ibu bapa supaya terus memainkan peranan aktif dalam
memastikan kesejahteraan keluarga masing-masing.

“Tanggungjawab kita bukan sekadar memberi nafkah, tetapi juga menjadi contoh dan
teladan yang baik dalam mendidik anak-anak dengan nilai-nilai murni agar dapat
mengejar cita-cita mereka.

“Selain itu, ibu bapa juga bertanggungjawab mengawasi perkembangan dan pergaulan
anak-anak dengan rakan sebaya kerana ia memberikan pengaruh yang besar dalam kehidupan harian dan masa depan anak-anak. Ini termasuk sentiasa memastikan anak-anak mendapat pendidikan agama dan moral yang secukupnya,” katanya.

Juliah berkata program Jerayawara yang diadakan pada hari ini merupakan siri
penjelajahan ke-18 dan akan diteruskan ke seluruh negeri mengikut kawasan DUN yang
telah dipilih.

“Kita optimis program ini akan memberi manfaat kepada rakyat negeri ini, terutama
dalam usaha kita menanam kesedaran terhadap aspek pengurusan kewangan keluarga
yang bijak, kesihatan keluarga, khususnya kesihatan reproduktif wanita, dan
keselamatan keluarga.

“Program outreach menerusi siri penjelajahan ini juga memberi peluang kepada kita
untuk menyantuni masyarakat akar umbi, mendengar suara hati dan keperluan mereka
dengan lebih dekat. Melalui pendekatan ini, kita dapat memastikan setiap program dan
perkhidmatan yang diberikan kepada rakyat, benar-benar mencapai sasarannya,”
katanya.-pr/BNN