PAPAR: Kerajaan Negeri terus melakukan pendekatan bersifat agresif bagi menoktahkan isu miskin tegar di Sabah, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.
Katanya, kerajaan melalui Sekretariat Sabah Maju Jaya (SMJ), Ketua Isi Rumah (KIR)
atau ahli isi rumah golongan miskin tegar ditawarkan pekerjaan yang seadanya,
melibatkan beberapa agensi kerajaan dan juga syarikat-syarikat swasta.
Beliau berkata, langkah positif ini yang disifatkannya sebagai suatu proses
penghijrahan, berjaya mengurangkan kadar miskin tegar di Sabah daripada 22,510 KIR
miskin tegar kepada hanya 5,379 KIR miskin tegar.
“Kerajaan Negeri bertekad untuk mengeluarkan mereka daripada garis kemiskinan.
Pendekatan bersifat agresif ini akan terus kita lakukan bagi menoktahkan isu miskin
tegar di Sabah, insya Allah”, katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Sambutan Ma’al Hijrah Peringkat
Negeri 1446H/2024M di Dewan Masyarakat Papar pada Ahad.
Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Haji Juhar Datuk Haji
Mahiruddin merasmikan majlis sambutan itu.
Hajiji berkata, ketibaan tahun baharu Hijrah yang diiringi dengan sambutan Maal Hijrah
diharap mampu menyemarakkan lagi semangat juang dan menggilap cita-cita dalam
jiwa semua umat Islam.
“Bukan sahaja dalam mengejar impian dan harapan, tetapi juga dalam memikul amanah
yang dipertanggungjawabkan selaku anggota masyarakat, terutamanya sebagai
anggota dalam perkhidmatan awam yang berperanan sebagai penggerak dan
pelaksana program-program pembangunan negeri dan negara yang tercinta”, katanya.
Beliau berkata, kisah-kisah dalam peristiwa Hijrah Rasulullah wajar dijadikan sebagai
iktibar, sumber inspirasi, dihayati dan contohi bersama oleh umat Islam dalam menjalani
kehidupan.
Katanya, sentiasa bermuhasabah diri wajar menjadi rutin kehidupan setiap muslim untuk
menanamkan rasa keinsafan dalam diri masing-masing, mempertingkatkan amalan dan
kewajipan terhadap Allah SWT, disamping memelihara hubungan baik sesama insan.
Menurutnya, amalan dan kewajipan ini perlu dilakukan secara berterusan agar umat
Islam tidak terus hanyut dibuai mimpi, tiada daya dan upaya untuk mencipta kejayaan,
malahan terdedah kepada kelemahan dan perpecahan yang tidak berkesudahan.
“Natijahnya, kita bukan sahaja kurang berdaya saing untuk mencipta perubahan dan
melakar kemajuan, malah kita akan terus diancam oleh situasi yang merugikan. Justeru
dalam mendepani dunia yang serba mencabar dewasa ini, kita sebagai ummah,
seharusnya lebih kuat dan berani mendepani apa jua situasi yang mendatang”.
“Kerana dengan kekuatan dan keberanian itu, kita tidak mudah dikotak-katikkan,
dipengaruhi dan diadu domba. Para generasi muda yang bakal mewarisi pimpinan
negeri dan negara, harus terus melakukan yang terbaik sebagai warga yang menjunjung
tuntutan agama, bangsa dan negara. Semangat dan peristiwa hijrah yang sebenar tetap
menjadi paduan dan pedoman kepada seluruh ummah, walaupun telah berlalu lebih
seribu tahun”, katanya.
Hajiji berkata, tema sambutan Maal Hijrah tahun ini “Al-Falah Pemacu Malaysia Madani”
mengajak umat Islam untuk terus bekerja dan berusaha ke arah mencapai kejayaan dan
kesejahteraan dalam kehidupan.
“Lebih-lebih lagi, sebagai rakyat Malaysia, yang selama ini tertanam di hati sanubari kita,
agar sentiasa bermuhasabah diri, berusaha gigih bagi mencapai kejayaan; sama ada
untuk diri sendiri atau pun kejayaan untuk organisasi yang kita wakili, seterusnya
kejayaan untuk tanahair yang tercinta. Namun, matlamat akhirnya ialah kejayaan dan
kesejahteraan untuk dunia dan akhirat, inshaAllah”, tambahnya.
Beliau turut mengajak seluruh rakyat agar memberikan komitmen setulusnya bagi
menjayakan pembangunan negeri ini. Ketepikanlah perbezaan, sebaliknya raikan
persamaan yang telah kita kongsi bersama selama ini.
“Pupuklah semangat kekitaan, eratkan persaudaraan, bersama kita berusaha, ramai-
ramai kita bekerja, demi menjayakan misi dan visi Malaysia Madani serta Hala Tuju SMJ ke arah Negeri Sabah yang makmur dan sejahtera”, katanya.-pr/BNN





