KOTA KINABALU: Penganugerahan Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah (BCNS) adalah
satu pengiktirafan berprestij kerajaan negeri terhadap kecemerlangan yang telah
dicapai oleh pelajar di negeri ini, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji
Noor.

Sambil menyifatkan majlis hari ini begitu istimewa, Hajiji yang juga Pengerusi Lembaga
Pemegang Amanah Yayasan Sabah berharap pelajar-pelajar akan berusaha lebih gigih
untuk mendapat kejayaan lebih cemerlang pada masa hadapan.

Katanya, penganugerahan BCNS itu seiring dengan hasrat kerajaan negeri melalui
Kumpulan Yayasan Sabah ingin melihat lebih ramai lagi modal insan yang mampu
bersaing di persada global.

“Kumpulan Yayasan Sabah telah diamanahkan untuk menyediakan biasiswa cemerlang
ini sejak tahun 1990. Sehingga kini, seramai 755 pelajar telah menerima manfaat
daripada program ini dan sebanyak RM132.6 juta telah dibelanjakan sejak program ini
dilaksanakan.

“Secara keseluruhannya, sejak tahun 1967 hingga 2023, Kumpulan Yayasan Sabah
membelanjakan RM704.5 juta dalam pemberian biasiswa, dermasiswa dan pinjaman
pengajian tinggi yang mana telah memberi manfaat kepada 44,075 pelajar Sabah.

“Pada hari ini, seramai 88 pelajar menerima biasiswa kerajaan negeri iaitu Anugerah
Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah, Anugerah Biasiswa Cemerlang Kerajaan Negeri
Sabah dan Anugerah MUIS,” katanya sempena Majlis Penyampaian Biasiswa
Cemerlang Negeri Sabah Siri Ke-35 di Sabah International Convention Centre (SICC)
di sini pada Selasa.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata pelaksanaan Anugerah Biasiswa
Cemerlang Kerajaan Negeri Sabah (BCKNS) yang bermula sejak tahun 2022 adalah
selaras dengan pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), di mana
biasiswa ini diberikan untuk meningkatkan taraf akademik anak-anak negeri Sabah.

“Sejak tahun 2022 hingga 2023, seramai 20 orang pelajar telah menerima manfaat
daripada program ini dan sebanyak RM 1.04 juta telah dibelanjakan. Sementara itu,
Anugerah MUIS yang bermula sejak tahun 2020 telah memberi manfaat kepada 50
pelajar sehingga tahun lalu,” katanya.

 

Beliau berkata, kerajaan negeri pada tahun 2023 telah menambah peruntukan Biasiswa
Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) daripada RM50 juta kepada RM101 juta, dengan
seramai 7,304 pelajar telah menerima penajaan bagi meneruskan pengajian di dalam
dan luar negara pada tahun ini.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan sentiasa menyokong dan komited dalam
memperkasa pembangunan modal insan menerusi pelbagai pembiayaan pendidikan
antaranya tajaan biasiswa, bantuan pendidikan, sumbangan zakat serta pinjaman
pendidikan, di negeri ini.

“Selain membantu meringankan beban yang ditanggung ibu bapa, pelbagai inisiatif
yang disediakan kerajaan juga adalah untuk memastikan anak-anak tidak tercicir
daripada arus pendidikan sekali dapat meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

“Ini seiring dengan matlamat kerajaan negeri yang memberi keutamaan kepada
pendidikan bagi melahirkan modal insan berdaya saing, berkemahiran dan berkualiti
tinggi. Hanya menerusi ilmu pengetahuan, kemahiran dan pendidikan tinggi anak-anak
kita dapat bersaing dan berjaya sekali gus menyumbang kepada pembangunan
masyarakat dan negeri ini,” katanya.-pr/BNN