KOTA KINABALU, Parti Maju Sabah (SAPP) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) bekerjasama menganjurkan program Sumondot Hari Sabah bagi menyemarakkan sambutan Hari Sabah yang diwartakan mulai tahun ini.
Program ini turut dijalankan di seluruh Sabah dengan Kontijen peringkat bahagian bermula pada 13 Ogos di Lahad Datu sehingga kepada penamat program di Kota Kinabalu pada 31 Ogos kelak.
Menurut Ketua Pemuda SAPP yang menjadi Pengerusi Penganjur Jamain Sarudin, dianggarkan 1 ribu orang akan hadir semasa penutupan program tersebut di Taman Chong Thien Vun, Kota Kinabalu bermula jam 2 petang.
“Sumondot dalam dalam bahasa Dusun bermaksud menuju atau Bergerak menuju”
SAPP dan STAR telah menjadi tulang belakang penganjur program ini sejak 2012 dengan kerjasama beberapa badan politik seperti Gabungan Sabah, United Sabah Alliance, PCS dan Parti Harapan Rakyat Sabah. Beberapa buah NGO juga turut menjadi rakan penganjur seperti Sabah Youth Solidarity (SYS), Borneo Heritage Foundation (BHF) dan Pertubuhan Peningkatan Pendidikan Rakyat Sabah (PIPA) dan Mosik serta menerima penyertaan dari berbagai NGO lain dari seluruh Sabah, sehinggalah Kerajaan Negeri memberi lampu hijau bagi mengadakan sambutan peringkat kerajaan pada tahun lalu di Tambunan.
Kerajaan Sabah mewartakan pengisytiharan Hari Sabah pada 31 Ogos.Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Datuk Seri Safar Untong melalui warta itu memaklumkan warta itu dibuat pada 5 Jun dan diterbitkan pada 20 Jun lepas bagi makluman umum bahawa 31 Ogos diisytihar sebagai Hari Sabah.
“Disamping acara yang dikelolalakan kerajaan negeri, SAPP dan STAR turut mengambil peluang menyemarakkan program untuk meningkatkan kesedaran rakyat terhadap Hari Sabah, sejarah dan tanggungjawab sosial institusi politik selaras dengan matlamat kerajaan”, tambah beliau lagi.
Beliau yang juga Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri berkata, meskipun ianya ringkas tetapi melalui program tersebut kelak, semua Pengerusi penganjur sejak 2012 akan diberikan pengikhtirafan di atas daya usaha dan jasa mereka. Antaranya Profesor Dr Haji Amde Sidek (2012), Stephan Gaimin (2013), Datuk Arlin Chia dan Jalibin Paidi (2014), Japiril Suhaimin (2015 dan 2017), Datuk Jornah Mojihim dan Danial Kiduta (2016), Datuk Jalumin Bayogoh (2018), Ardino Diris (2019), ir. Jovilis Majami (2021), Felsie Joy Pillin Mosuyun (2022) dan Datuk Robert Tawik (2023). Semasa era Covid 19 pada tahun 2020 Sambutan Sabah Day secara atas talian telah diadakan, Datuk Jalumin Bayogoh dan Japiril Suhaimin menjadi penganjur bersama.
“Kita menjemput semua pejuang Hari Sabah untuk turut serta ke Sumondot Hari Sabah bermula jam 2 petang dan dijangka berakhir pada jam 4 petang, kemudiannya selepas itu menghadiri pula acara sambutan Hari Sabah anjuran Kerajaan Negeri di Padang Merdeka”
Beliau turut melahirkan harapan agar buku teks sejarah dapat memasukkan Hari Sabah ke dalam sukatan pelajaran sekolah di Malaysia. Disamping berharap pada masa akan datang agar Sabah hanya menyambut Hari Sabah sahaja pada setiap 31 Ogos seperti Sarawak yang menyambut Hari Sarawak pada setiap 22 Julai.
“Meskipun ada suara-suara sumbang dari penyokong pembangkang yang mempertikaikan Hari Sabah, namun sebagai rakyat yang cintakan tanah air, perlu mengetepikan sentimen politik dan berbangga rakyat Sabah dapat menikmati hari pembebasan dari penjajahan British dengan berkerajaan sendiri pada 31 Ogos 1963 sebelum pembentukan Malaysia pada 16 September 1963”, ujar beliau.
Semasa Program ini berjalan, selain bendera Sabah yang terkini, turut dikibarkan bendera asal Sabah 1963-1982 bagi tujuan pendidikan sejarah terutama kepada golongan muda. -pr/BNN