KOTA KINABALU: Sabah hanya mempunyai seramai 28 orang Pegawai Kerja SosialPerubatan (PKSP) berkhidmat di sebanyak 24 buah hospital seluruh negeri merangkumi hospital negeri, hospital pakar major dan minor, hospital tanpa pakar serta hospital institusi.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, jumlah itu tidak mencukupi untuk menangani permasalahan pesakit yang memerlukan intervensi lanjut
ke arah mencapai kefungsian sosial yang optimum.

Beliau berkata, Sabah merupakan sebuah negeri yang besar dan kebolehcapaian
kepada perkhidmatan kesihatan bagi mereka yang tinggal di pedalaman akan
menghadapi beberapa halangan disebabkan faktor geografi dan kemudahan
pengangkutan serta keadaan sosio ekonomi keluarga.

“Hanya terdapat 28 orang PKSP yang ada bagi mengendalikan kes-kes yang dirujuk
untuk bantuan psikososial dan kewangan bagi pembelian peralatan dalam memenuhi
keperluan rawatan, sudah tentu jumlah ini tidak mencukupi”, katanya ketika merasmikan
Persidangan Pegawai Kerja Sosial Perubatan (PKSP) Malaysia ke-27 di Ballroom Hotel
7 Suria pada Rabu.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Kewangan Negeri, Datuk Seri Panglima
Masidi Manjun.

Hajiji berkata, kos perubatan semakin meningkat pada masa ini secara langsung
memberikan kesan besar kepada kemampuan rakyat mendapatkan rawatan kesihatan. Menurutnya ekoran terkesan dari segi ekonomi, didapati jumlah pesakit yang
mendapatkan rawatan di hospital kerajaan mengalami peningkatan dan menambah lagi
cabaran kepada warga kesihatan untuk menyediakan perkhidmatan yang berkesan dan
menyeluruh.

Sehubungan ini katanya, perkhidmatan kerja sosial perubatan menjadi amat signifikan
bagi memenuhi keperluan pesakit yang semakin kompleks dan dinamik, sejajar dengan
aspirasi reformasi kesihatan negara iaitu sistem kesihatan yang saksama dan
berpaksikan rakyat.

 

“Justeru, PKSP memainkan peranan membina jaringan kerjasama dengan agensi kerajaan dan swasta yang menyediakan sumber bantuan bagi membantu pesakit miskin dan tidak berkemampuan semasa menerima rawatan atau pemulihan. Mereka juga dapat membantu pesakit (klien) untuk mencapai kesihatan yang lebih baik melalui sistem penyampaian perkhidmatan yang berkualiti tinggi.

“Pesakit di negeri ini mempunyai cabaran tambahan apabila mendapatkan rawatan di hospital, institusi dan klinik kesihatan berikutan isu demografi negeri dan jarak rumah
mereka di pedalaman. Oleh itu, PKSP perlu menggunakan teknologi terkini selaras
dengan perkembangan semasa dalam memberikan perkhidmatan kepada pesakit.

“Iktibar perlu diambil seperti semasa berlakunya wabak COVID-19. Walaupun tidak
dapat berinteraksi secara bersemuka dengan pesakit, namun perkhidmatan diteruskan
melalui kaedah teknologi terkini seperti konsultasi secara maya agar kesihatan dan
kebajikan pesakit terus terpelihara, terutama pesakit yang tidak dapat hadir untuk sesi
konsultasi susulan di fasiliti rawatan”, katanya.

Hajiji berharap PKSP sentiasa komited meneroka sumber-sumber baharu bagi
memenuhi keperluan pesakit secara holistik dari segenap segi dalam proses
mentransformasikan penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada semua peringkat
rakyat.

Beliau juga berharap Persidangan PKSP Malaysia ke-27 yang bertemakan
‘Keharmonian Hidup: Transformasi Masa Depan Bersama’ akan membuahkan hasil
yang memberi manfaat bukan saja kepada PKSP, juga kepada rakyat Sabah
keseluruhannya.

“Kepada semua PKSP, teruskan momentum dan usaha profesional dalam memberikan
perkhidmatan yang terbaik kepada semua pesakit terutamanya pesakit yang kurang
berkemampuan”, tegasnya.-pr/BNN