Technorama cungkil bakat pelajar dalam ICT

0
36
Ewon bergambar bersama sebahagian daripada murid-murid yang menyertai pertandingan itu.

KOTA BELUD: Program Technorama dapat mencungkil bakat pelajar dalam bidang Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) serta  membantu mencetuskan idea kreatif guru-guru dengan mempelbagaikan bahan bantu mengajar menggunakan Teknologi ICT.

Sehubungan itu, Menteri Pembangunan Luar Bandar Ewon Benedick mahu program seumpama itu diteruskan ke daerah-daerah lain agar ilmu yang diajar dapat dimanfaatkan bersama.

“Program ini diadakan di Kota Belud pada 2009 melibatkan empat buah sekolah, seterusnya dianjurkan pada 2013 dengan penglibatan lima buah sekolah.

“Tahun ini,  program techorama sekali lagi bertandang ke Kota Belud dengan menggabungkan lapan buah sekolah iaitu SMK Narinang, SK Narinang, SK Rangalau, SK Taginambur, SK Tuguson, SK Lasau Tintapon, SK Melangkap dan SK Tamu Darat melibatkan 88 pelajar dan 21 orang guru,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah Technorama Fiesta 2018 Peringkat Daerah Kota Belud, di Dewan SMK Narinang, di sini, hari ini.

Turut hadir Pegawai Pendidikan Daerah Kota Belud Mohd. Fadzli Abd. Rozan, Penolong Pengarah Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Sabah Salleh Lingam, Pengetua SMK Narinang Solingkoi Sidi dan guru-guru.

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian berkata, melalui program seumpama ini setiap pelajar dapat mempamerkan kreativiti mereka selain menerapkan budaya kerja berpasukan.

“Pembahagian kumpulan mengikut sekolah yang berlainan pastinya akan membuka minda mereka untuk berfikir bagaimana bekerja secara berpasukan dengan ahli-ahli yang baharu dikenali. Ia juga mampu mencungkil ciri-ciri kepimpinan dalam diri pelajar,” katanya.

Beliau berkata, pada era ledakan teknologi masa kini, para pelajar tidak boleh lagi hanya bergantung kepada guru sebaliknya mereka perlu menonjolkan bakat terpendam.

“Sesungguhnya setiap pelajar memiliki keunikannya masing-masing. Cuma apa yang penting ialah bagaimana keunikan berkenaan dapat ditonjolkan.

“Saya yakin melalui pendekatan program ini yang dibawa oleh Kementerian Pelajaran dan Inovasi, sedikit sebanyak dapat mencungkil bakat-bakat terpendam dalam pelbagai bidang,” katanya.

Ewon turut menyeru rakyat di negeri ini agar sentiasa berusaha mencari peluang mempelajari pelbagai ilmu baru yang lebih berinovasi.

Program empat hari itu bermula 27 Ogos lalu bertujuan menerapkan idea inovasi melalui aktiviti teknovasi, pembikinan filem pendek dan animasi kepada para pelajar dan guru-guru.

Program Technorama adalah salah satu aktiviti dalam program Virtual School Club yang sasarannya adalah para pelajar sekolah menengah dan rendah di seluruh Sabah.  Pada tahun ini, enam daerah dipilih untuk melaksanakan program ini dan Kota Belud merupakan daerah yang Ketiga melaksanakannya.

Terdapat tiga aktiviti yang dijalankan semasa Technorama iaitu Digital Story Telling, Aniclix dan Technovasi. Melalui aktiviti ini, para peserta dapat menghasilkan filem pendek, animasi dan bahan inovasi.

Johan bagi aktiviti Teknovasi dimenangi kumpulan pelajar SMK Narinang, SK Taginambur, SK Melangkap, SK Tuguson dan SK Narinang.-pr/BNN