KOTA KINABALU: Mantan Presiden Persatuan Ahli-Ahli Kehormat Ikatan Relawan Malaysia (RELA) Negeri Sabah, Datuk Jerry Ambuting Mohd Said menyambut baik keputusan Jabatan Peguam Negara (AGC) yang mengklasifikasikan aduan dikemukakan ahli perniagaan, Albert Tei, terhadap bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).

Beliau berkata, keputusan itu membuktikan setiap dakwaan yang dikemukakan kepada pihak berkuasa perlu disokong oleh fakta, keterangan dan bukti yang mencukupi sebelum sebarang tindakan boleh diambil.

Menurutnya, keputusan AGC yang mendapati elemen kesalahan ugutan jenayah di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan tidak dapat dibuktikan wajar dihormati semua pihak kerana ia dibuat selepas penelitian menyeluruh terhadap kertas siasatan yang dikemukakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Keputusan ini menunjukkan sistem perundangan negara berfungsi mengikut proses yang sewajarnya dan berasaskan bukti, bukannya persepsi atau spekulasi.

“Pada masa yang sama, perkembangan ini juga menimbulkan persoalan yang wajar diteliti berhubung asas dakwaan yang telah dibuat sebelum ini serta maklumat yang dikemukakan kepada pihak berkuasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jerry berkata, isu berkenaan mendapat perhatian ramai susulan dakwaan yang sebelum ini dikaitkan dengan ahli perniagaan, Albert Tei, terhadap Azam Baki.

Katanya, oleh kerana dakwaan berkenaan telah mencetuskan perhatian umum serta memberi implikasi kepada reputasi individu dan institusi yang terlibat, semua aspek berkaitan perlu diteliti secara menyeluruh berdasarkan fakta dan bukti.

Jerry turut merujuk kepada penafian yang pernah dibuat oleh Azam Baki berhubung dakwaan terhadapnya.

Menurutnya, Azam sebelum ini dilaporkan menegaskan bahawa beliau tidak mengenali Albert Tei, tidak pernah berurusan atau berkomunikasi dengannya, selain menafikan pernah menghantar mana-mana peguam untuk berjumpa pihak berkenaan.

Beliau berkata, perkembangan terbaru apabila Azam memfailkan saman fitnah terhadap Albert Tei di Mahkamah Tinggi Shah Alam berhubung kenyataan yang diterbitkan di media sosial dan platform dalam talian menunjukkan bahawa perkara itu kini turut melalui proses perundangan di mahkamah.

Katanya, berdasarkan laporan media, Azam melalui firma guamannya menegaskan bahawa dakwaan yang dikaitkan terhadap beliau adalah tidak berasas dan tidak benar, selain memfailkan tindakan undang-undang bagi mempertahankan reputasi serta nama baik yang dibina sepanjang perkhidmatannya dalam sektor awam.

“Percanggahan antara dakwaan, penafian dan kini tindakan saman fitnah yang difailkan menguatkan lagi keperluan supaya semua fakta diteliti secara menyeluruh bagi menentukan kebenaran sebenar.

“Dalam situasi seperti ini, apa yang penting ialah kebenaran berdasarkan fakta dan bukti. Semua pihak perlu menghormati proses undang-undang yang sedang berjalan,” katanya.

Beliau berkata, susulan keputusan AGC itu, perhatian kini wajar diberikan kepada persoalan sama ada terdapat unsur laporan palsu, penyampaian maklumat mengelirukan atau dakwaan yang tidak mempunyai asas kukuh ketika laporan berkenaan dibuat.

Menurutnya, isu itu menjadi lebih signifikan memandangkan dakwaan yang dikemukakan sebelum ini membabitkan tuduhan serius terhadap seorang pegawai kanan penguat kuasa dan telah mendapat perhatian meluas masyarakat.

“Apabila sesuatu dakwaan gagal dibuktikan sehingga tiada tindakan lanjut diambil, maka adalah munasabah untuk pihak berkuasa meneliti sama ada terdapat unsur-unsur lain yang mungkin menyalahi undang-undang.

“Sekiranya terdapat bukti bahawa mana-mana pihak dengan sengaja mengemukakan maklumat palsu, mengelirukan atau berniat jahat kepada pihak berkuasa, tindakan sewajarnya hendaklah diambil tanpa mengira siapa individu terbabit,” katanya.

Jerry berkata, rakyat perlu diberi keyakinan bahawa sistem perundangan negara bukan sahaja bertindak terhadap pihak yang melakukan kesalahan, malah turut mengambil tindakan terhadap individu yang sengaja mengemukakan laporan palsu atau dakwaan tidak berasas.

Menurutnya, tindakan sedemikian penting bagi memelihara integriti institusi penguat kuasa serta mengelakkan penyalahgunaan proses undang-undang bagi tujuan tertentu.

“Mana-mana individu yang cuba memperalatkan institusi penguat kuasa untuk kepentingan peribadi, politik atau perniagaan perlu bertanggungjawab atas perbuatannya.

“Setiap rakyat mempunyai hak untuk membuat laporan kepada pihak berkuasa, namun hak tersebut mesti digunakan secara bertanggungjawab dan berlandaskan fakta yang benar,” katanya.

Jerry berkata, sekiranya terdapat pihak yang didapati sengaja mereka-reka tuduhan, mengemukakan maklumat palsu atau memperdayakan pihak berkuasa bagi memburukkan individu lain, tindakan undang-undang perlu dikenakan tanpa kompromi.

Katanya, tindakan terhadap pihak yang sengaja membuat tuduhan tidak berasas adalah penting bagi memastikan integriti sistem perundangan negara terus terpelihara dan tidak disalahgunakan untuk kepentingan tertentu.

Beliau berkata, prinsip keadilan menuntut supaya semua pihak diberikan ruang dan peluang untuk membela diri, manakala setiap dakwaan pula hendaklah disokong oleh bukti yang sahih.

“Biarlah mahkamah menentukan perkara yang berkaitan dengan saman fitnah yang sedang berjalan, manakala pihak berkuasa menjalankan tanggungjawab mereka berdasarkan undang-undang.

“Apa yang paling penting ialah kebenaran dapat ditegakkan dan keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan negara terus dipelihara.

“Rakyat mahu melihat keadilan dilaksanakan secara adil dan saksama. Pada masa yang sama, mereka yang didapati menyalahgunakan proses undang-undang atau membuat dakwaan tanpa asas yang kukuh juga perlu dipertanggungjawabkan mengikut peruntukan undang-undang,” katanya.-pr/BNN