KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri berharap pindaan Rang Undang-Undang (RUU)
Akta Ordinan Buruh Sabah yang dijadualkan pada sesi Persidangan Parlimen Penggal
Keempat pada Oktober 2024, mendapat sokongan sebulat suara daripada semua Ahli
Parlimen.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, RUU Akta Ordinan
Buruh Sabah (Pindaan) 2024 telah dibentangkan untuk bacaan pertama oleh Menteri
Sumber Manusia semasa sesi Parlimen Pertama Penggal Ketiga pada 17 Julai 2024.
“Saya amat berharap bacaan kali kedua pindaan RUU ini yang dijadualkan pada sesi
persidangan Parlimen Penggal Keempat pada Oktober 2024 akan mendapat sokongan
sebulat suara daripada semua Ahli Parlimen.
“Saya amat yakin dengan pindaan Ordinan Buruh (Sabah Bab 67) ini akan memberi
manfaat kepada majikan dan pekerja di negeri Sabah dengan panduan yang lebih
terperinci dan teratur untuk semua pihak dalam meningkatkan hubungan industri yang
lebih harmoni dan kondusif”, katanya ketika merasmikan Konvensyen Memerangi
Jenayah Pemerdagangan Orang dan Buruh Paksa Tahun 2024 di Sabah International
Convention Centre (SICC) pada Khamis.
Hajiji berkata, kerajaan negeri telah memberi persetujuan dan sokongan sepenuhnya
kepada pindaan RUU itu kerana satu daripada 16 perkara pindaan tersebut adalah
berkaitan dengan isu human rights dan labour rights serta penghapusan diskriminasi
yang memperuntukkan kesalahan dan hukuman kepada majikan atau mana-mana
pihak yang mengamalkan amalan pemerdagangan orang, buruh paksa dan buruh
kanak-kanak.
Menurutnya, ini selaras dengan peranan kerajaan meratifikasi Protokol 29 Pertubuhan
Buruh Antarabangsa (ILO) sebagai bukti komitmen kerajaan menghapuskan buruh
paksa di negara ini.
Beliau berkata, Jenayah pemerdagangan orang dan buruh paksa perlu ditangani
dengan bijaksana mengikut dasar dan perundangan sedia ada agar ia dapat dibendung
dan dibanteras supaya tidak menjadi isu di peringkat negeri dan antarabangsa.
Katanya, kerajaan negeri memberi perhatian serius dan komited dalam memerangi
jenayah pemerdagangan orang dan amalan buruh paksa di negeri ini, yang memerlukan kerjasama kukuh dan koordinasi antara agensi kerajaan negeri dan persekutuan, badanbukan kerajaan dan pihak berkuasa tempatan.
“Kedudukan negeri ini yang berkongsi sempadan dengan beberapa negara termasuk
Indonesia dan Filipina sehingga perjalanan merentas sempadan lebih mudah, yang
sekali gus menjadikan Sabah terdedah kepada aktiviti migrasi rentas sempadan,
pemerdagangan orang dan buruh paksa”, katanya.
Hajiji berkata, kerajaan negeri mengiktiraf dan memperakui peranan penting Majlis
Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (MAPO) yang diterajui oleh
Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan agensi-agensi yang dilantik dalam membanteras
jenayah pemerdagangan orang dan buruh paksa di Malaysia.
Dalam hubungan itu katanya, kerjasama antara kerajaan negeri dengan agensi-agensi
Persekutuan khususnya yang terlibat secara langsung di bawah payung MAPO perlu
diperkasakan untuk memastikan aspek penguatkuasaan, perlindungan dan
pencegahan jenayah pemerdagangan orang dan buruh paksa dapat dilaksana dengan
sebaik mungkin agar negara Malaysia tidak dituduh mengabaikan atau mengambil
mudah isu tersebut.
Katanya, pekerja merupakan aset utama dan rakan strategik kepada pembangunan
ekonomi sesebuah negara kerana pekerja yang berpengetahuan, berkemahiran tinggi
dan mempunyai jati diri merupakan asas yang paling utama kepada negara untuk kekal
kompetatif dan meningkatkan produktiviti agar ekonomi negara sentiasa mampan serta
berdaya saing di peringkat glokal.
Justeru Hajiji mahu semua majikan sentiasa memastikan amalan baik industri dilaksana,
meningkatkan piawaian perburuhan seperti yang termaktub dalam dasar dan
perundangan negara, bagi memastikan hasrat dan aspirasi kerajaan untuk melihat
negara ini bebas daripada amalan pemerdagangan orang dan amalan buruh paksa
menjadi realiti dan dapat direalisasikan.
“Ini penting dalam membantu usaha kerajaan negeri melaksanakan pelbagai agenda
pembangunan menerusi Hala Tuju Sabah Maju Jaya, yang bukan saja memerlukan
pekerja yang berdaya saing tetapi harus mematuhi perundangan negara”, tegasnya.
Beliau juga berharap kira-kira 178,000 majikan di negeri ini akan sama-sama mengambil
bahagian menandatangani ikrar dan akujanji dalam memerangi jenayah
pemerdagangan orang dan buruh paksa. Majikan sebagai orang penting harus melihat
isu ini dengan serius, menyokong dan menanam iltizam untuk menangani jenayah yang
mampu menggugat keselamatan rakyat di negeri ini.-pr/BNN