Warisan tidak abai kawasan pembangkang

0
Datuk Seri Mohd Shafie Apdal-Pix YouTube

PAPAR: Kerajaan negeri diterajui Parti Warisan Sabah tidak akan abaikan kawasan pembangkang daripada turut menikmati pembangunan, kata Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hj Mohd Shafie Hj Apdal.

Beliau berkata rakyat adalah penting bagi kerajaan sekarang dan pembangunan akan tetap disalurkan ke kawasan yang tidak dimenangi Warisan dan Pakatan Harapan pada pilihan raya umum lalu.

“Kita bukan bantu Umno atau YBnya. Kita bantu rakyat kerana mereka penting bagi kita,” Ketua Menteri berkata kepada pemberita apabila diminta mengulas ucapannya di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri, Datuk Aidi Mokhtar serta Parti Warisan Sabah bahagian Papar, tengahari tadi.

Turut hadir pada majlis itu ialah Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dan isteri, Toh Puan Norlidah R M Jasni, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Darell Leiking, Timbalan Ketua Menteri, Christina Liew, Menteri Pelajaran dan Inovasi, Datuk Dr Yusof Yacob, pemimpin-pemimpin Parti Warisan Sabah dan wakil rakyat Kawang dan Membakut, Datuk Ghulam Haidar Khan dan Datuk Ariffin Ariff.

Pada majlis yang sama, Ketua Menteri menekankan penting bagi memperkasakan usaha industrialisasi di Sabah untuk memanfaatkan sepenuhnya hasil seperti kayu balak dan kelapa sawit.

Menerusi aktiviti hiliran, peluang pekerjaan juga bertambah dengan pembinaan kilang skala besar seperti kilang pemprosesan minyak sawit.

“Kalau kita ekspot balak, kita ekspot minyak, kilang di Jepun, kilang di China. Yang kerja orang Jepun, orang China bukan orang Sabah. Kita mahu supaya anak-anak Sabah dapat manfaat. Dapat keuntungan bukan hanya menerusi konsesi kayu balak tapi pekerjaan di kilang-kilang.”

“Kita kena bijak merancang membangun negeri Sabah. Jangan kita pentingkan kayu balak,” katanya sambil menambah mengekspot komoditi itu hanya menguntungkan segelintir taukeh-taukeh balak berbanding ribuan rakyat Sabah yang memerlukan peluang pekerjaan yang disediakan oleh aktiviti hiliran industri perkayuan.

Sementara itu, perutusan yang kini menjadi tular di media sosial kononnya dari Ketua Menteri Sabah baru tiada kaitan dengan Shafie Apdal.

Bertajuk “TAZKIRAH/ PERUTUSAN DARI KETUA MENTERI SABAH (WARISAN) YG BARU”, ia meminta orang ramai terutamanya umat Islam, supaya berhenti dari menjadikan bekas perdana menteri dan isterinya sebagai bahan lawak jenaka.

Bagaimanapun, Pejabat Ketua Menteri Sabah menegaskan perutusan itu bukan dikeluarkan oleh Ketua Menteri dan beliau tidak pernah menyatakan seperti yang tercatit sedemikian.-pr/BNN