KOTA KINABALU: Aktivis politik, Aksyah Haji Nasrah menyifatkan pendekatan Parti Warisan yang didakwa gemar mengambil kesempatan daripada isu semasa sebagai amalan politik “Pok Silap” atau sikap oportunis untuk meraih keuntungan politik.

Beliau berkata, berdasarkan corak siber dan jentera penerangan Warisan kebelakangan ini, parti itu dilihat cuba mencipta naratif serta persepsi buruk terhadap kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor dan Kerajaan Perpaduan-Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

“‘Pok Silap’ tersangat sinonim dengan masyarakat Sabah, merujuk kepada sikap oportunis yang sentiasa menunggu, melangut dan mengharapkan suatu laba atau keuntungan politik atas kejadian semasa. Dalam peribahasa Melayu lama, kelakuan ini disebut sebagai ‘menangguk di air yang keruh’,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Aksyah mendakwa isu utiliti domestik dibesar-besarkan oleh media dan penyokong Warisan bagi membina naratif bahawa kerajaan GRS ketika ini “gagal total”, sedangkan menurutnya, perkembangan ekonomi makro dan pembangunan infrastruktur negeri menunjukkan pencapaian yang berbeza.

Beliau berkata, pelaksanaan projek Lebuh Raya Pan Borneo Sabah menunjukkan perkembangan ketara selepas baki Surat Setuju Terima (SST) bagi Fasa 1B diserahkan sepenuhnya kepada kontraktor pada Oktober 2024.

“Sehingga Julai 2026, purata kemajuan fizikal keseluruhan pakej kerja aktif Fasa 1B sudah melepasi 35 hingga 40 peratus dalam tempoh tidak sampai dua tahun, manakala baki pakej Fasa 1A mencapai status siap sepenuhnya melebihi 90 peratus di beberapa sektor utama,” katanya.

Mengenai isu bekalan air, Aksyah berkata kerajaan negeri bukan sekadar berjanji, sebaliknya melaksanakan 20 projek loji rawatan air (LRA) utama secara serentak di seluruh Sabah, dengan enam LRA berskala sederhana dan besar dijangka siap tahun ini.

“Kesemua LRA ini dijangka mula beroperasi secara komersial penuh menjelang awal 2027, sekali gus menambah kapasiti jutaan liter air bersih sehari. Ini tidak termasuk Projek Hidro Ulu Padas yang dijangka siap dan mula beroperasi pada 2027, dengan keupayaan membekalkan 100 juta liter air sehari,” katanya.

Dalam isu Sabah Development Bank (SDBank), beliau turut mempersoalkan dakwaan bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengenai pinjaman kepada syarikat dari Semenanjung, dengan mengaitkannya dengan kelulusan pinjaman RM300 juta kepada AirAsia ketika pentadbiran Warisan pada 2020.

Aksyah turut membandingkan prestasi ekonomi Sabah di bawah pentadbiran Warisan dan GRS, dengan mendakwa KDNK negeri merosot 9.2 peratus pada 2020 sebelum kembali mencatat pertumbuhan positif 1.1 peratus pada 2021 dan 3.7 peratus pada 2022 di bawah pentadbiran Hajiji.

“Bermula 2020 sehingga hari ini pada 2026, hasil pendapatan dan rizab kewangan kerajaan negeri Sabah sentiasa mencatatkan peningkatan saban tahun sehingga menghampiri angka RM9 bilion,” katanya.

Beliau mendakwa Warisan mengambil alih pentadbiran Sabah ketika rizab negeri sekitar RM4 bilion, namun meninggalkan rizab sekitar RM3 bilion, sambil mempersoalkan pihak yang sebenarnya lebih cekap mengurus negeri.

Aksyah berkata, Hajiji kekal konsisten melaksanakan pembangunan berdasarkan hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0, termasuk memperjuangkan MA63, pembangunan infrastruktur, kemakmuran ekonomi dan kestabilan politik.

Mengulas pembentukan gabungan Warisan-STAR-KDM yang disifatkan sebagai “Blok Borneo”, beliau mendakwa Warisan cuba meraih sokongan masyarakat Kadazan, Dusun, Murut dan Rungus dengan menjadikan STAR serta KDM sebagai “kuda tunggangan politik” bagi mencapai kedudukan sebagai “king maker”.

“Pengakhiran yang mereka harapkan, mereka berhajat menjadi king maker agar kedudukan ini digunakan untuk memeras sesiapa sahaja yang ingin membentuk Kerajaan Pusat agar jika mahu sokongan mereka, tukar Kerajaan Negeri Sabah! Inilah saya namakan ‘Pok Silap’,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan kritikan Warisan terhadap kehadiran Hajiji dan kepimpinan Sabah pada Konvensyen PKR, sedangkan kehadiran Shafie dalam program UMNO disifatkan mereka sebagai politik matang.

“Apabila Shafie menghadiri program UMNO, itu mereka katakan politik matang. Betapa munafiknya mereka! Memang Pok Silap!” katanya.-pr/BNN