KOTA KINABALU: Pengerusi Pertubuhan Peladang Negeri Sabah (PPNS), Datuk Mohd Nazri Abdullah, merakamkan ucapan tahniah kepada Presiden Kehormat PPNS, Datuk Seri Panglima Salleh Said Keruak atas pelantikannya sebagai Ketua Merinyu Projek Sabah.

Beliau berkata, pelantikan itu adalah pengiktirafan terhadap pengalaman luas serta kredibiliti kepimpinan dimiliki bekas Ketua Menteri Sabah itu dalam pentadbiran dan pembangunan negeri.

Menurutnya, pengalaman Salleh yang pernah memegang pelbagai jawatan penting di peringkat negeri dan Persekutuan diyakini mampu membantu memperkukuh pemantauan serta pelaksanaan projek pembangunan di Sabah.

“PPNS merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Datuk Seri Panglima Salleh Tun Said atas pelantikan sebagai Ketua Merinyu Projek Sabah.

“Kami yakin pengalaman dan kewibawaan beliau akan memberi nilai tambah kepada usaha memastikan pelaksanaan projek pembangunan negeri berjalan dengan lebih tersusun, telus dan berintegriti,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menyerahkan watikah pelantikan Ketua Merinyu Projek Sabah kepada Salleh di Menara Kinabalu pada Selasa.

Dalam reaksinya, Salleh menzahirkan penghargaan atas kepercayaan diberikan kepadanya dan berjanji akan melaksanakan amanah itu dengan penuh tanggungjawab berlandaskan pengalaman dimiliki.

Beliau turut menegaskan komitmennya untuk memastikan tadbir urus projek dilaksanakan secara telus, berintegriti dan berakauntabiliti.-pr/BNN