PENAMPANG:Parti Bersatu Sabah (PBS) terus memperkukuh organisasi dan gerak kerja parti menerusi pelantikan pengerusi tujuh biro utama dalam Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi (AMT) pertama bagi sesi 2026–2029 di Ibu Pejabat PBS, Donggongon, hari ini.

Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Presiden PBS, Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam.

Tujuh pengerusi biro yang dilantik ialah YB Datuk Joniston Bangkuai bagi Biro Disiplin dan Tatatertib, YB Datuk Lo Su Fui bagi Biro Sosio-Ekonomi, YB Datuk Haji Ruslan Muharam bagi Biro Kebajikan dan Bencana Alam, YB Datuk Julita Majungki bagi Biro Pembangunan Kepimpinan, YB Datuk Hendrus Anding bagi Biro Pendidikan dan Latihan Kemahiran, Datuk Dr. Christoper Mandut bagi Biro Pembangunan Belia dan Beliawanis serta YB Datuk Jonnybone Kurum bagi Biro Pembangunan Keusahawanan.

Pelantikan ini bertujuan memastikan setiap biro berfungsi secara aktif dan melaksanakan program berimpak yang memberi manfaat kepada ahli parti serta rakyat Sabah.

“Jawatan dalam PBS bukan hadiah. Jawatan adalah amanah. Saya mahu setiap biro bekerja, turun padang dan membawa hasil yang dapat dirasai oleh ahli dan rakyat Sabah,” tegas Presiden PBS.

Dalam perkembangan sama, PBS merancang Jelajah Kepimpinan Tertinggi ke enam zon PBS bermula seawal Januari 2027 bagi mendekati ahli, mendengar pandangan akar umbi dan memperkukuh perpaduan parti.

Mesyuarat turut bersetuju untuk mengemukakan kertas cadangan penambahan kerusi Parlimen Sabah kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk pertimbangan, melibatkan kawasan seperti Kota Marudu, Tuaran, Keningau, Tenom dan Tawau, serta beberapa kawasan lain.

PBS komited memastikan setiap perancangan diterjemahkan kepada tindakan yang berkesan, selaras dengan aspirasi memperkukuh parti dan memperjuangkan kepentingan rakyat Sabah.BERSATU, STABIL DAN BERINTEGRITI. -pr/BNN