TUARAN: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor mengulangi komitmennya untuk memastikan empat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Tuaran menerima limpahan pembangunan sama seperti kawasan lain di Sabah.
Beliau berkata, sebagai Ketua Menteri dari Tuaran, menjadi tanggungjawabnya untuk membangunkan bukan saja kawasan yang diwakilinya di DUN Sulaman, malah memastikan DUN Pantai Dalit, Tamparuli dan Kiulu turut menerima kemajuan.
Katanya, beliau sentiasa mencari jalan untuk membantu rakyat di daerah ini dan membawa pembangunan yang sewajarnya, sejajar dengan kedudukan Tuaran sebagai daerah asal Ketua Menteri sekarang.
“Jadi saya sentiasa mencari jalan untuk bantu pastikan kawasan Tuaran, khususnya Sulaman dan Pantai Dalit, termasuk juga Tamparuli dan Kiulu terus membangun dan maju.
“Kalau boleh kita mahu daerah Tuaran ini lebih maju atau setara pembangunannya dengan daerah lain di seluruh Sabah, lebih-lebih lagi ini adalah kawasan Ketua Menteri,” katanya.
Hajiji berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) bagi kawasan DUN Sulaman dan DUN Pantai Dalit Sesi 2026-2030 serta Penyerahan Bantuan Tunai kepada Peniaga dan Penjaja Tepi Jalan Tahun 2026 di Dewan Seri Sulaman, di sini, hari ini.
Pada majlis itu, seramai 48 Pengerusi JKKK bagi kawasan DUN Sulaman dan 45 Pengerusi JKKK bagi kawasan DUN Pantai Dalit menerima watikah pelantikan bagi tempoh perkhidmatan 2026 hingga 2030.
Majlis berkenaan turut menyaksikan penyampaian bantuan tunai RM3,000 kepada seramai 200 peniaga dan penjaja tepi jalan melalui peruntukan Sentuhan Kasih Hajiji bagi tahun 2026.
Ketua Menteri berkata, usaha yang beliau laksanakan itu juga sebagai tanda penghargaan terhadap sokongan rakyat di Sulaman yang memberikan sokongan berterusan selama 36 tahun beliau mewakili Sulaman, termasuk lima tahun sebagai Ketua Menteri.
Katanya, beliau sedaya upaya membawa kemudahan kepada rakyat di Tuaran, lebih-lebih lagi di kawasan Sulaman dan Pantai Dalit yang sebelum ini menjadi sebahagian daripada DUN Sulaman seperti jalan kampung dan aktiviti ekonomi untuk manfaat rakyat.
Mengenai bantuan tunai RM3,000 melalui Sentuhan Kasih beliau, Hajiji berkata sumbangan itu bertujuan meringankan beban kos ditanggung peniaga kecil di kawasan Sulaman dan Pantai Dalit dalam menjana pendapatan untuk keluarga.
“Ini adalah bantuan tunai Sentuhan Kasih dari saya, setiap tahun ada bantuan kepada peniaga kecil-kecilan ini kerana saya prihatin. Jadi tahun ini saya bagi RM3,000 kepada seramai 200 orang di Sulaman dan Pantai Dalit.
“Program ini termasuk dalam hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) iaitu memberi kesejahtreaan kepada rakyat dan inilah antara asas yang perlu kita laksanakan,” katanya.
Terdahulu, beliau mengingatkan Pengerusi JKKK supaya melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan sebagai mata dan telinga yang menghubungkan rakyat dengan kerajaan, termasuk berusaha menyatupadukan rakyat di peringkat akar umbi.
Katanya, tugas JKKK bukan hanya melaksanakan projek, malah berperanan untuk menyatupadukan rakyat di kampung masing-masing.
“Tugas lebih besar bukan setakat melaksanakan projek, tapi banyak lagi aktiviti lain yang boleh memberi kesedaran kepada rakyat dan melakukan aktiviti yang membawa kemajuan. Contohnya berganding bahu dengan rakyat melalui aktiviti gotong royong di kampung. Ini boleh diusahakan kerana ia boleh merapatkan silaturahim sesama kita.
“Bukan soal semata-mata memohon projek dan lain-lain tapi perkara asas merapatkan silaturahim, kekeluargaan di kampung, gotong-royong, adakan perjumpaan selalu bukan saja dengan AJK, tapi juga orang kampung dalam melahirkan masyarakat bersatu-padu,” katanya.





