KOTA KINABALU : Persatuan Kebajikan Masyarakat Bingkor menyokong gesaan Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sabah, Azrul Ibrahim, supaya Kerajaan Persekutuan tidak menangguhkan pelaksanaan pembayaran tuntutan 40 peratus hasil bersih Sabah seperti diputuskan oleh Mahkamah Tinggi.

Pengerusinya, Hj Yazid Hj Mohd Hasnan Tawik @ Charles, berkata Kerajaan Persekutuan perlu menunjukkan komitmen yang jelas dan segera dalam melaksanakan keputusan mahkamah itu sebagai tanda menghormati hak Sabah serta kepentingan rakyat negeri ini.

Beliau berkata, sekiranya terdapat kekangan dari segi mekanisme pelaksanaan atau kemampuan kewangan, pendekatan pembayaran secara berperingkat adalah langkah yang lebih wajar dan mencerminkan itikad baik Kerajaan Persekutuan.

“Keputusan Mahkamah Tinggi pada 17 Oktober 2025 yang mengesahkan hak Sabah terhadap 40 peratus hasil bersih merupakan pengiktirafan penting terhadap kedudukan Sabah seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan serta semangat Perjanjian Malaysia 1963,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menegaskan rakyat Sabah telah lama menantikan penyelesaian yang adil terhadap perkara itu dan sebarang penangguhan hanya akan menimbulkan keresahan serta pelbagai persepsi negatif dalam kalangan rakyat.

Sehubungan itu, katanya, Kerajaan Persekutuan diharap mengambil pendekatan lebih proaktif dengan memulakan pembayaran sebahagian daripada tuntutan berkenaan sementara rundingan lanjut mengenai jumlah sebenar dan formula pengiraan dimuktamadkan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.

“Dalam semangat Persekutuan Malaysia yang adil dan saksama, kita berharap penyelesaian ini dapat disegerakan agar hak Sabah terus dihormati dan dilaksanakan,” katanya.-pr/BNN