KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menggesa syarikat-syarikat besar di Sabah supaya membuka lebih banyak peluang kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan untuk berkembang dan mengambil bahagian dalam pembangunan ekonomi negeri.
Beliau berkata, usaha memperkukuh hubungan perniagaan antara syarikat besar dengan perusahaan tempatan akan membantu mengekalkan lebih banyak nilai ekonomi di Sabah, di samping memastikan manfaat pertumbuhan ekonomi dapat dinikmati secara lebih meluas.
“Ketika syarikat-syarikat besar mengembangkan operasi mereka, saya menggalakkan mereka supaya membuka lebih banyak peluang kepada pembekal tempatan, penyedia perkhidmatan dan usahawan baharu.
“Dengan memperkukuh hubungan perniagaan ini, kita dapat mengekalkan lebih banyak nilai ekonomi di Sabah serta membolehkan lebih banyak perusahaan tempatan mengambil bahagian dalam pembangunan negeri,” katanya pada majlis Anugerah Sin Chew Sabah Business Builder di Grand Palace Ballroom, Restoran Port View Seafood, Tanjung Lipat, di sini malam ini.
Teks ucapan Ketua Menteri disampaikan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Ceasar Mandela Malakun.
Hajiji berkata, sektor swasta yang kukuh dan dinamik amat penting kepada kemajuan Sabah, manakala Kerajaan Negeri kekal komited untuk mewujudkan persekitaran perniagaan yang kondusif, berdaya saing dan mesra pelabur bagi menggalakkan syarikat serta pelabur memulakan dan mengembangkan operasi mereka di negeri ini.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri juga menyedari bahawa usaha menambah baik infrastruktur dan kesalinghubungan, memperkukuh perkhidmatan asas, memudah cara pelaburan serta membangunkan tenaga kerja berkemahiran merupakan asas penting dalam meningkatkan keyakinan perniagaan dan menjamin pertumbuhan ekonomi jangka panjang.
“Kerajaan tidak mampu mencapai matlamat ini secara bersendirian. Kita memerlukan penyertaan, idea dan kerjasama daripada usahawan, pelabur, persatuan industri serta pemimpin masyarakat,” katanya.
Hajiji berkata, kekayaan sumber asli Sabah, tanah pertanian yang subur, biodiversiti yang luar biasa serta kedudukan strategik negeri ini menawarkan peluang besar kepada sektor perniagaan untuk menjana nilai ekonomi yang berkekalan dalam pelbagai sektor.
“Tugas kita adalah untuk menterjemahkan segala kekuatan ini kepada kemakmuran yang lebih meluas dan inklusif.
“Kita mesti menggalakkan lebih banyak aktiviti nilai tambah, memperkukuh perusahaan tempatan serta memastikan pertumbuhan ekonomi mewujudkan peluang yang bermakna bukan sahaja di kawasan bandar, tetapi juga di pekan-pekan kecil dan komuniti luar bandar,” katanya.
Hajiji turut menggesa majikan supaya memperkukuh kerjasama dengan institusi pendidikan dan latihan menerusi program latihan amali, perantisan, latihan teknikal serta pendedahan industri bagi membantu lebih ramai anak Sabah membina kerjaya yang baik dan bermakna di negeri sendiri.
Pada masa sama, Ketua Menteri menggalakkan generasi muda supaya menceburi bidang keusahawanan, memanfaatkan teknologi serta membangunkan penyelesaian inovatif yang relevan dengan keperluan Sabah dan mampu bersaing di luar negeri ini.
“Kemajuan akhirnya tidak seharusnya diukur berdasarkan saiz ekonomi semata-mata, tetapi juga melalui peluang yang tersedia kepada rakyat serta peningkatan kualiti hidup mereka,” katanya.
Beliau berkata, setiap perniagaan baharu yang diwujudkan, setiap pelaburan produktif yang dilaksanakan dan setiap peluang pekerjaan bermakna yang dicipta akan membawa Sabah semakin hampir kepada visi Sabah Maju Jaya, iaitu menjadi sebuah negeri yang lebih makmur, berdaya saing dan inklusif.
Sementara itu, Hajiji memuji Sin Chew Daily atas penganjuran majlis anugerah berkenaan bagi memberikan pengiktirafan kepada usahawan, penggerak perniagaan dan pemimpin masyarakat yang telah menyumbang kepada pembangunan ekonomi Sabah serta kesejahteraan rakyatnya.
Beliau berharap akhbar berkenaan akan terus berperanan sebagai jambatan penghubung antara kerajaan, komuniti perniagaan dan rakyat.
Hajiji turut mengucapkan tahniah kepada semua penerima anugerah serta menggesa mereka supaya terus berinovasi, memperkukuh perniagaan, membangunkan bakat tempatan dan membantu meningkatkan taraf hidup masyarakat yang telah menyokong perjalanan keusahawanan mereka.-pr/BNN





