MATUNGGONG: Ketua Bahagian Parti Bersatu Sabah (PBS) Matunggong, Datuk Julita Majungki yakin PBS dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mampu mempertahankan kerusi Matunggong pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-17.

Beliau yang juga Setiausaha Agung PBS berkata, ini boleh dicapai jika jentera dan ahli parti terus bersatu serta bersedia berhadapan apa jua kemungkinan.

“Pilihan raya boleh berlaku bila-bila masa dalam tiga hingga empat bulan ini. Jika kita kekal bersatu dan bersedia, saya percaya kita mampu mengekalkan kemenangan.

Terus kuat, terus juang,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar pada Mesyuarat Agung Tahunan Bahagian Matunggong ke-40 yang berlangsung di Dewan Terbuka Pekan Matunggong kelmarin.

Pemangku Presiden PBS, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam merasmikan mesyuarat tersebut.

Julita menegaskan bahawa perjuangan PBS kekal relevan dan berteraskan prinsip asal.

Beliau menekankan bahawa PBS sebagai parti tempatan yang berusia 40 tahun masih berdiri teguh memperjuangkan hak rakyat dan negeri Sabah, khususnya melalui kerangka Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Kita harus ingat, semangat menuntut hak MA63 yang dahulu dilihat sebagai tindakan melawan kini menjadi agenda utama banyak pihak, termasuk mereka yang pernah menentang usaha ini.

“Namun rakyat perlu bijak menilai agar tidak terpedaya dengan mereka yang pintar berkata-kata tetapi penuh dengan rekod pengkhianatan,” tegas beliau.

Julita turut memperingatkan bahawa PBS telah melalui perjuangan panjang yang mencorakkan landskap politik Sabah dan tidak sepatutnya dilabel sebagai parti lapuk kerana sumbangan sejarah dan kesannya terhadap kesedaran politik rakyat masih berterusan.

Menyentuh tentang kerjasama politik semasa, beliau menganggap GRS sebagai platform terbaik rakyat Sabah dan mencerminkan kematangan politik negeri dalam membentuk gabungan tempatan yang tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada kuasa luar.

Menurut beliau, pencapaian ekonomi negeri melalui GRS jelas apabila kutipan hasil negeri melonjak kepada RM6.4 bilion pada 2023 berbanding RM4.4 bilion pada 2021, satu peningkatan sebanyak 44 peratus, hasil pelaksanaan dasar di bawah Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

“Program Rumah Mesra SMJ, Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR) dan Skim Insurans Rakyat Sabah adalah bukti keprihatinan Kerajaan GRS kepada rakyat,” katanya, sambil memaklumkan bahawa 80 rumah SMJ telah disalurkan ke Matunggong.

Di bawah skim SYUKUR, bantuan RM300 sebulan telah diagihkan kepada keluarga terpilih sejak awal tahun, manakala Skim Insurans Rakyat Sabah menawarkan perlindungan kepada semua pemegang MyKad Sabah bagi kecederaan dan kecacatan kekal akibat kemalangan.

Julita turut memperincikan kejayaan PBS Matunggong berdasarkan pelaksanaan lima teras utama yang dibawa beliau sejak PRN16, antaranya memperkasa pendidikan, infrastruktur, ekonomi, sosio-budaya dan hubungan antara kaum.

“Sebanyak RM475,000 telah digunakan bagi membina potensi pelajar, antaranya melalui insentif pelajar cemerlang dan bantuan kepada sekolah. Ini adalah pelaburan modal insan yang tidak nampak secara fizikal tetapi sangat berimpak tinggi,” katanya.

Di bawah inisiatif pendidikan juga, tiga buah tabika baharu telah dibina di Kg. Panikuan, Tuid dan Lotong, serta pemasangan penghawa dingin di tiga dewan sekolah untuk keselesaan pelajar.

Dalam aspek infrastruktur pula, dua blok rumah panjang baharu di Kg. Toporoi siap dibina, sementara 60 buah rumah SMJ telah diserahkan kepada penduduk dan 20 lagi sedang dalam proses pelaksanaan.

Beliau memaklumkan bahawa lebih 200 projek pembinaan dan naik taraf jalan kampung serta pertanian dilaksanakan sejak 2023 dengan peruntukan lebih RM43 juta, hasil kerjasama kerajaan negeri dan persekutuan.

Tambahan pula, pembinaan 10 unit rumah kedai, dewan komuniti pekan Matunggong, serta pelaksanaan projek jalan Indarason Pata-Rondomon dan Teringai oleh JKR turut menyumbang kepada pembangunan kawasan itu.

Kajian naik taraf Daerah Kecil Matunggong kepada daerah penuh juga telah disiapkan, termasuk pelan induk pembangunan pekan Matunggong.

Julita menegaskan PBS Matunggong turut membantu membina dan membaiki rumah-rumah ibadat bukan Islam melalui peruntukan ADUN dan khas kerajaan negeri.

Di bawah teras ekonomi, sebanyak 281 geran tanah telah dikeluarkan pada 2022, manakala isu tanah SAFODA seluas 2,169.7 hektar sedang dalam proses penyelesaian melalui kerjasama LUC dan agensi berkaitan.

“Saya ingin jelaskan bahawa tuduhan kononnya saya menjual tanah SAFODA adalah fitnah murahan. Penyelesaian sedang berjalan demi manfaat rakyat,” katanya.

Julita turut menzahirkan penghargaan atas kehadiran Dr. Joachim yang juga Timbalan Ketua Menteri II meskipun jadual yang padat, sambil menyifatkan kehadiran beliau sebagai dorongan moral besar buat ahli-ahli parti di peringkat akar umbi. – pr/BNN