KENINGAU: Kejohanan Futsal Terbuka anjuran Wiramuda Parti Solidariti Tanah Airku (STARSABAH) Bahagian N.40 Bingkor melabuhkan tirainya dengan Pasukan Babyshark FC muncul juara selepas bersaing sengit menewaskan 15 pasukan lain.
Acara yang berlangsung di Gelanggang Futsal Tabasan Site, Kota Ayangan Bingkor ini merupakan sebahagian daripada pengisian Program Jelajah Belia Bingkor, bertujuan mempromosikan gaya hidup sihat dan memperkukuh hubungan belia tempatan menerusi sukan.
Seramai 16 pasukan mengambil bahagian dalam kejohanan ini, dengan lapan daripadanya berjaya mara ke pusingan akhir yang dirasmikan oleh Timbalan Ketua Wiramuda STARSABAH Bahagian N.40 Bingkor, Rosfendi Salleh.
Naib johan disandang oleh Pasukan Teruna FT, manakala tempat ketiga menjadi milik Pasukan Gacor FT, sekaligus menampilkan bakat-bakat belia yang berdaya saing serta semangat kesukanan yang tinggi.
Pengurus kejohanan, Mohd Nizam Yahya, melahirkan rasa puas hati terhadap kelancaran pertandingan serta menyampaikan penghargaan kepada semua yang terlibat dalam menjayakan kejohanan ini.
“Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua ahli jawatankuasa yang telah bertungkus-lumus menjayakan kejohanan ini. Sokongan dan kerjasama semua pihak amat kami hargai,” katanya.
Kejohanan ini sekali lagi membuktikan komitmen Wiramuda STARSABAH dalam memperkasakan penyertaan belia melalui sukan sebagai wadah pembinaan jati diri dan perpaduan masyarakat.-pr/BNN