TUARAN: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menggesa rakyat agar tidak mudah terpengaruh dengan cerita-cerita yang tidak sahih yang tersebar di media sosial.
Beliau berkata menjelang pilihan raya, pelbagai berita palsu telah disebarkan melalui platform media sosial.
“Jangan buat pilihan yang salah. Kerajaan Negeri yang ada sekarang telah mencapai pelbagai kejayaan, sama ada dalam membangunkan Sabah melalui perancangan strategik, bidang pendidikan, pelancongan dan kerjasama dengan Petronas bagi meningkatkan hasil negeri.

“Pilihan raya kali ini adalah cabaran besar dan ianya peluang keemasan untuk rakyat memilih sebuah kerajaan yang bukan sahaja peka terhadap keperluan rakyat tetapi juga berasaskan aspirasi tempatan,” katanya.
Berucap pada Majlis Penutupan Festival Budaya Lotud BBKWDDP di Dewan Hone, IPGM Kent di sini hari ini, Ketua Menteri berkata hanya semasa pentadbiran beliau banyak bantuan telah disalurkan oleh Kerajaan Negeri untuk pelajar Sabah.
Beliau berkata, sebelum ini tidak pernah ada bantuan disalurkan kepada pelajar Sabah yang belajar di Semenanjung Malaysia mahupun bantuan untuk pelajar dalam negeri pulang ke kampung halaman semasa perayaan utama.
“Kita mahu membantu meringankan beban pelajar kita hari ini,” katanya.
Hajiji berkata pelaburan juga telah masuk ke Sabah, sehingga Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sabah (SOGIP) di Sipitang kini telah penuh.
Yang terbaru, katanya, sebuah syarikat dari Singapura membawa masuk pelaburan berjumlah lebih RM19.5 bilion dalam tiga fasa, dengan fasa pertama sahaja memerlukan kira-kira 8,000 peluang pekerjaan.
“Inilah aspirasi kita, untuk mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat Sabah,” katanya.Ketua Menteri turut memuji inisiatif penganjur Festival Budaya Lotud BBKWDDP yang membantu memelihara budaya dan tradisi masyarakat suku Lotud.
“Kerajaan Negeri menyokong penuh inisiatif seperti ini yang memperkukuh nilai budaya dan memperkasakan belia melalui aktiviti seni warisan,” katanya.
Hajiji turut mengulangi harapan beliau agar kaum Dusun Lotud menjadi kaum yang progresif dan setanding dengan komuniti lain di negeri ini.
Pesta Budaya Lotud BBKWDDP melibatkan tujuh kampung iaitu: Batangan, Barus, Korompitut, Wokok, Dungang 1, Dungang 2, dan Pendamai.-pr/BNN